Rakyat Kelantan rugi RM50.09 juta sepanjang tahun 2025 angkara scammer

Mohd Yusoff semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu pada Ahad.
Mohd Yusoff semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU – Rakyat di negeri ini mengalami kerugian berjumlah RM50.09 juta sepanjang tahun 2025 angkara scammer.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jenayah komersil menunjukkan peningkatan yang membimbangkan apabila jumlah kes direkodkan hampir dua kali ganda dalam tempoh dua tahun, meskipun nilai keseluruhan kerugian kewangan berjaya dikurangkan.

"Bagi tempoh Januari hingga Disember sebanyak 1,095 kes jenayah komersil direkodkan pada 2024 sebelum meningkat kepada 2,010 kes pada 2025, iaitu pertambahan sebanyak 915 kes.

"Walaupun jumlah kes meningkat dengan ketara, nilai keseluruhan kerugian kewangan mencatatkan penurunan daripada RM55.04 juta pada 2024 kepada RM50.09 juta pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak RM4.94 juta," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Menurut beliau, kes penipuan telefon atau Phone Scam (Macau Scam) mencatatkan peningkatan daripada 98 kes pada 2024 kepada 139 kes pada 2025, dengan kerugian melonjak daripada RM4.47 juta kepada RM7.63 juta.

Tambah beliau, kes tipu e-dagang turut menunjukkan peningkatan ketara apabila melonjak daripada 213 kes kepada 453 kes, dengan nilai kerugian meningkat daripada RM1.85 juta kepada RM3.29 juta.

“Bagi kes pinjaman tidak wujud, jumlah kes meningkat daripada 106 kepada 195 kes, manakala kerugian bertambah daripada RM1.34 juta kepada RM1.59 juta.

"Kes penipuan pelaburan dalam talian juga meningkat daripada 173 kes kepada 205 kes, dengan lonjakan kerugian daripada RM9.14 juta kepada RM12.47 juta, menjadikannya antara penyumbang utama kerugian kewangan tertinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, peningkatan paling ketara dari segi bilangan kes melibatkan penipuan kerja sambilan dalam talian, yang melonjak daripada 80 kes pada 2024 kepada 253 kes pada 2025.

Ujarnya, kerugian bagi kes ini turut meningkat mendadak daripada RM1.64 juta kepada RM7.90 juta dimana corak ini amat membimbangkan kerana ia menyasarkan golongan rakyat biasa yang mencari pendapatan tambahan.

Sebaliknya, beliau memberitahu, kes Love Scam dan Parcel Scam merekodkan penurunan daripada 30 kes kepada 24 kes, dengan kerugian menurun daripada RM1.35 juta kepada RM389,000.

Dalam perkembangan sama, kes lain-lain jenayah siber meningkat daripada 253 kes kepada 449 kes, dengan nilai kerugian melonjak daripada RM5.30 juta kepada RM11.29 juta.

"Manakala bagi kategori lain-lain jenayah komersil, jumlah kes meningkat daripada 142 kepada 295 kes, namun nilai kerugian mencatatkan penurunan drastik daripada RM31.28 juta kepada RM5.54 juta.

“Secara keseluruhannya, statistik ini memberi gambaran jelas bahawa jenayah komersil terus meningkat dari segi bilangan kes, namun impak kewangan berjaya dikawal melalui penguatkuasaan berkesan dan kesedaran awam,” katanya.

Ringkasan AI

  • Rakyat Kelantan mengalami kerugian RM50.09 juta pada tahun 2025 akibat scammer
  • Jumlah kes jenayah komersil meningkat hampir dua kali ganda dari tahun 2024 ke 2025
  • Kerugian akibat Phone Scam naik dari RM4.47 juta pada 2024 ke RM7.63 juta pada 2025
  • Penipuan kerja sambilan dalam talian menyaksikan lonjakan kerugian daripada RM1.64 juta ke RM7.90 juta
  • Kes Love Scam dan Parcel Scam mencatatkan penurunan dari 30 kes ke 24 kes, dengan kerugian menurun dari RM1.35 juta ke RM389,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!