SPRM siasat dakwaan pengubahan wang haram RM2.5 bilion babitkan IJM

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan IJM Corporation Bhd berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.
Sumber dalaman suruhanjaya itu memaklumkan bahawa seorang anggota pengurusan tertinggi syarikat yang bergelar Tan Sri serta seorang penasihat syarikat telah dikenal pasti sebagai individu berkepentingan.
"Pasukan penyiasat kini sedang mengumpul maklumat lanjut berkaitan dakwaan berkenaan sebelum satu siasatan rasmi dibuka,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO) (Serious Fraud Office) dilapor melancarkan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua eksekutif berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua individu terbabit kini berada di luar negara.
Sumber turut memaklumkan bahawa SPRM juga sedang meneliti dakwaan manipulasi harga saham.
Ia dipercayai berlaku ketika Sunway Group sedang berusaha untuk mengambil alih IJM menerusi satu urus niaga bernilai RM11 bilion.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa cadangan penggabungan antara kedua-dua syarikat itu dijangka mengubah landskap sektor hartanah dan pembinaan Malaysia, sekali gus berpotensi mendorong pemaju dan kontraktor untuk meningkatkan strategi dan daya saing.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan ke atas IJM dan maklumat lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa. - Bernama
Ringkasan AI
- SPRM sedang menyiasat IJM Corporation Bhd berhubung dakwaan pengubahan wang haram RM2.5 bilion
- Seorang anggota pengurusan tertinggi dan seorang penasihat syarikat telah dikenal pasti sebagai individu berkepentingan
- Siasatan SPRM berlangsung selepas SFO UK melancarkan siasatan terhadap dakwaan sama melibatkan dua eksekutif tersebut
- Kedua-dua individu terbabit kini berada di luar negara
- SPRM juga meneliti dakwaan manipulasi harga saham semasa Sunway Group mengambil alih IJM dengan urus niaga RM11 bilion
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
