[VIDEO] 'Terima kasih PM, gantikan titi gantung berusia 24 tahun dengan jambatan'
KUALA KRAI - Penduduk di Kampung Chatel Damai, Lata Rek di sini melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas keprihatinan serta meluluskan peruntukan segera membina sebuah jambatan bagi menggantikan titi gantung berusia 24 tahun yang runtuh pada 1 Januari lalu.

Jambatan baharu sepanjang 35 meter dan boleh menampung berat sehingga 50 tan itu dianggarkan menelan belanja RM200,000 dimana ia bukan sahaja boleh dilalui pejalan kaki, motosikal tetapi kereta serta pacuan empat roda serta trak pikap.
Sebelum ini titi gantung yang digunakan oleh 50 penghuni di enam buah rumah serta menjadi 'penghubung' utama ratusan penduduk untuk berulang alik ke kebun getah, sawit dan buah-buahan mereka di sini hanya boleh dilalui pejalan kaki, motosikal sahaja.

Penduduk, Wan Syukri Wan Isa, 54, berkata, dia tidak pernah menyangka tragedi titi gantung runtuh semasa majlis perkahwinan anak keduanya baru-baru ini membawa berita gembira kepada semua penduduk kampung.
"Pada hari kejadian ada yang cedera, patah kaki dan sehingga sekarang belum pulih. Bagaimanpun kami bersyukur peristiwa itu mendapat perhatian Perdana Menteri dan kami kini bakal mendapat jambatan baharu yang dijangka siap sebelum Aidilfitri ini.
"Terima kasih Perdana Menteri kerana gantikan titi gantung ini dengan jambatan yang lebih kukuh serta boleh digunakan oleh pelbagai kenderaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Isnin.
Bagi penoreh, Azmi Daud, 65, memberitahu, dia sebelum ini terpaksa menyeberangi Sungai Chatel untuk memunggah hasil getah serta tanaman lain dari kebun.
Ujarnya, setiap kali melalui titi gantung dia terpaksa berjalan kaki dan meninggalkan motosikalnya di seberang berhampiran kebun.

"Sudah lama saya serta penduduk lain menggunakan titi gantung ini. Ia sudah terlalu uzur serta merbahaya. Alhamdulillah dengan adanya jambatan baharu nanti ia memudahkan kami untuk bekerja," katanya.
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lata Rek, Mohd Zamri Mohd Noor, kerja-kerja menyiapkan jambatan baharu sudah bermula sejak Sabtu lalu.
Beliau berkata, hari ini (Isnin) sudah memasuki hari ketiga dimana proses mencuci kawasan sedang dilakukan.

Ujarnya, dengan siapnya kemudahan baharu itu akan melegakan penduduk yang sebelum ini terpaksa menyeberangi sungai dengan arus yang deras menggunakan kenderaan setiap kali ingin memunggah hasil kebun serta ketika berlaku kecemasan.
"Ia dijangka siap sebelum Aidilfitri ini. Kami di sini sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana cepat bertindak.
"Titi gantung runtuh pada 1 Januari dan projek bina jambatan baharu bermula tidak sampai dua minggu. Jambatan baharu ini sangat diperlukan kerana ia digunakan hampi 90 peratus penduduk di sini," katanya.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri meluluskan peruntukan untuk jambatan baru ganti titi gantung berusia 24 tahun yang runtuh
- Jambatan baharu sepanjang 35 meter, boleh menampung berat hingga 50 tan dan menghubungkan penduduk untuk aktiviti harian
- Sebelumnya, titi gantung hanya boleh dilalui pejalan kaki dan motosikal, membatasi akses penduduk
- Penduduk berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri yang memudahkan pergerakan dan keselamatan
- Kerja-kerja pembinaan jambatan baharu sudah bermula dan dijangka siap sebelum Aidilfitri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

