"Kami buntu, bimbang bekalan susu nenek terputus'


JERANTUT – “Kami tidak mahu nenek terputus bekalan susu, tetapi dengan pendapatan yang ada sekarang, kami benar-benar buntu.”
Demikian rintihan Nik Nurliana Nik Razi, 29, yang bergelut memastikan kebajikan neneknya, Noriah Keria, 79, yang terlantar akibat angin ahmar sejak Ogos tahun lalu, terus terjaga.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, mereka kini memerlukan hampir RM2,000 sebulan bagi menampung keperluan khas neneknya, termasuk susu, lampin pakai buang serta kos ulang-alik ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS), Temerloh.
“Nenek memerlukan sekurang-kurangnya empat tin susu khas sebulan dan setiap tin berharga RM130, namun perbelanjaan itu belum termasuk keperluan lain.
“Walaupun bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mencukupi, kami tetap bersyukur kerana ada pihak yang membantu meringankan beban,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menceritakan kepayahan mereka, Nik Nurliana yang bekerja sebagai jurusolek berkata, mereka sekeluarga tidak mempunyai pendapatan tetap bagi menampung kos rawatan dan penjagaan tersebut.
Menurutnya, kakak sulung merupakan seorang ibu tunggal dan tidak mempunyai pendapatan, manakala dua lagi kakaknya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah sekitar RM30 hingga RM40 sehari.
“Suami saya dan abang ipar pula hanya bekerja sebagai pemandu lori, jadi pendapatan mereka sekadar cukup untuk menyara anak-anak yang masih bersekolah.
“Walaupun bebannya berat, kami tetap menjaga nenek dengan seikhlas hati kerana dialah yang membesarkan kami empat beradik selepas kematian ibu,” ujarnya yang menetap di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini.
Mengulas keadaan Noriah, Nik Nurliana berkata, neneknya diserang angin ahmar secara mengejut sebelum dibawa ke Hospital Bandar Pusat Jengka dan seterusnya dirujuk ke HOSAS, Temerloh.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati warga emas itu mengalami pendarahan serius di bahagian otak.
“Sejak itu, nenek hanya terlantar, bercakap perlahan dan anggota kiri badannya mengalami lumpuh.
“Untuk ke bilik air pun kami perlu mengangkatnya ke kerusi roda,” katanya sambil memaklumkan Noriah telah menjalani lima sesi fisioterapi, namun keadaannya masih belum menunjukkan banyak perubahan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 06037023262380 atas nama Noriah Keria.
Ringkasan AI
- JERANTUT – "Kami tidak mahu nenek terputus bekalan susu, tetapi dengan pendapatan yang ada sekarang, kami benar-benar buntu"
- Demikian rintihan Nik Nurliana Nik Razi, 29, yang bergelut memastikan kebajikan neneknya, Noriah Keria, 79, yang terlantar akibat angin ahmar sejak Ogos tahun lalu, terus terjaga
- Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, mereka kini memerlukan hampir RM2,000 sebulan bagi menampung keperluan khas neneknya, termasuk susu, lampin pakai buang serta kos ulang-alik ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS), Temerloh
- Walaupun bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mencukupi, kami tetap bersyukur kerana ada pihak yang membantu meringankan beban
- Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 06037023262380 atas nama Noriah Keria
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

