Tiga beranak derita kencing manis sejak usia belasan tahun

Akibat faktor genetik, tiga beranak menderita penyakit kencing manis seawal usia belasan tahun dengan seorang daripadanya kini berada pada tahap kronik.
Akibat faktor genetik, tiga beranak menderita penyakit kencing manis seawal usia belasan tahun dengan seorang daripadanya kini berada pada tahap kronik.
A
A
A

PASIR MAS - Akibat faktor genetik, tiga beranak menderita penyakit kencing manis seawal usia belasan tahun dengan seorang daripadanya kini berada pada tahap kronik sehingga menjejaskan fungsi buah pinggang.

Bekas tukang masak tadika, Siti Fauziah Zakaria, 45, berkata, dia menghidap kencing manis sejak usia 17 tahun dan penyakit itu turut diwarisi oleh dua anak perempuannya termasuk seorang yang masih remaja.

Menurut wanita itu, penyakit berkenaan mempunyai sejarah panjang dalam keluarganya apabila lapan daripada 12 adik-beradik Siti Fauziah disahkan menghidap kencing manis manakala dua daripada mereka serta ibu bapanya meninggal dunia akibat komplikasi penyakit sama.

Siti Fauziah (kiri) dan Syukri (kanan) mencuci luka pada jari kaki Nur Syafina (tengah).
Siti Fauziah (kiri) dan Syukri (kanan) mencuci luka pada jari kaki Nur Syafina (tengah).

“Saya mula sakit sejak remaja dan kini dua anak pula menghidap penyakit kencing manis.

“Seorang daripadanya kini sudah rosak fungsi buah pinggang tahap tiga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Program Perumahan Rakyat Termiskin di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang di sini pada Sabtu.

Siti Fauziah berkata, anak sulungnya yang terjejas fungsi buah pinggang itu, Nur Syafina Syukri, 24, menghidap kencing manis sejak usia 12 tahun, manakala anak ketiganya, Nur Syamila, 16, disahkan menghidap penyakit sama sejak berusia 11 tahun.

“Nur Syafina sudah empat kali mengalami luka bernanah terutama di bahagian perut sepanjang lebih 15 sentimeter dan sedalam tujuh sentimeter dan pernah mengalami luka lepuh di belakang badan serta jari kaki.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan kesihatan saya juga semakin merosot apabila turut menghidap darah tinggi dan masalah buah pinggang bocor, selain kerap mengalami luka yang lambat sembuh,” katanya.


Syukri (kanan) menunjukkan belakang Nur Syaza Azahra (kiri) yang bengkok.
Syukri (kanan) menunjukkan belakang Nur Syaza Azahra (kiri) yang bengkok.

Menurutnya, sebelum ini dia bekerja sebagai tukang masak dengan melakukan kerja sambil duduk di kerusi, namun terpaksa berhenti selepas tadika berkenaan menutup operasi, ditambah pula dengan keadaan kesihatan yang semakin teruk.

Tambahnya, anak bongsunya, Nur Syaza Azahra, 13, dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal yang lumpuh separuh badan akibat masalah tulang belakang dan memerlukan pemantauan rapi.

“Keadaan anak bongsu bukan disebabkan kencing manis, tetapi masalah tulang belakang dan dia hanya mampu bergerak secara mengesot,” katanya.

Dia memberitahu, beban kewangan keluarga amat berat kerana terpaksa berulang-alik ke hospital, menampung kos peralatan mencuci luka, selain suaminya, Syukri Che Latif, 56, yang sebelum ini bekerja lebih 27 tahun dengan sebuah syarikat kurier, kehilangan punca pendapatan sejak tahun lalu selepas syarikat itu menutup operasi.

Menurutnya, kos rawatan dan temu janji hospital bagi tiga ahli keluarga yang sakit mencecah hampir RM3,000 sebulan sekali gus memaksa mereka bergantung kepada ihsan orang ramai selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

“Bantuan JKM sedikit sebanyak membantu, tetapi kos rawatan memang tinggi kerana temu janji hospital kerap dan melibatkan beberapa hospital,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Siti Fauziah Zakaria 0302 7020 5454 27.

Ringkasan AI

  • Akibat faktor genetik, tiga beranak menderita penyakit kencing manis dengan satu daripada mereka mempunyai fungsi buah pinggang yang rosak tahap tiga
  • Siti Fauziah Zakaria dan dua anak perempuannya menghidap kencing manis, dengan sejarah penyakit ini panjang dalam keluarga mereka
  • Anak sulung, Nur Syafina Syukri, menghidap kencing manis sejak usia 12 tahun dan mengalami luka bernanah, sedangkan Nur Syamila disahkan pada usia 11 tahun
  • Anak bongsu, Nur Syaza Azahra, dilahirkan OKU fizikal akibat masalah tulang belakang
  • Keluarga ini bergantung kepada bantuan kerana kos rawatan dan temu janji hospital mencapai hampir RM3,000 sebulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!