'Apa saja kerja saya sanggup buat demi keluarga'

Mohd Firdaus menunjukkan basikal yang digunakan untuk mencari kerja sampingan ketika di bangku sekolah.
Mohd Firdaus menunjukkan basikal yang digunakan untuk mencari kerja sampingan ketika di bangku sekolah.
A
A
A

KEMAMAN – Pada usia yang sepatutnya diisi dengan cita-cita dan impian, seorang pemuda dari Penunjuk, Kijal di sini terpaksa memikul amanah besar sebagai ketua keluarga apabila kedua ibu bapanya tidak lagi mampu bekerja akibat komplikasi penyakit yang berpanjangan.

Mohd Firdaus Faziah, 21, menggalas tanggungjawab itu sejak masih di bangku sekolah.

Dengan kudrat muda dan sebuah basikal sebagai pengangkutan utama, dia melakukan pelbagai kerja sampingan demi memastikan keluarganya terus bertahan.

Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, Firdaus tidak pernah memilih pekerjaan.

Apa sahaja yang mampu dilakukan akan diusahakan demi meringankan beban keluarga yang kian berat dipikul.

“Saya sudah biasa bekerja sejak sekolah. Apa saja kerja yang ada, saya cuba buat untuk bantu keluarga. Walaupun hanya berbasikal, bagi saya itu sudah memadai.

“Saya juga tolong buat kerja rumah seperti memasak dan bila ada yang panggil, saya pergi ke laut menangkap ikan kalau cuaca mengizinkan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Rumah sewa yang didiami Norma Aini bersama anak dan suaminya di Penunjuk, Kijal, Kemaman.
Rumah sewa yang didiami Norma Aini bersama anak dan suaminya di Penunjuk, Kijal, Kemaman.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik ketabahan Firdaus, ibunya, Norma Aini Saad, 46, menyimpan derita yang bukan sedikit.

Wanita itu menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi, kolesterol serta masalah buah pinggang bocor.

Menurut Norma, kesakitan paling ketara ialah parut pembedahan ketika melahirkan anak bongsu yang sudah berusia 16 tahun, namun masih terasa hingga ke hari ini.

“Saya kalau boleh memang tak mahu menyusahkan anak sulung, tapi saya tak tahu lagi nak bergantung harap kepada siapa. Suami pun sakit dan saya sendiri tak mampu buat kerja berat.

“Syukurlah ada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300. Kalau ada tempahan, saya cuba juga buat kuih-muih,” katanya.

Nasib keluarga itu bertambah sukar apabila suaminya, Tuah Zainal Abidin, 59, turut menghidap penyakit kronik termasuk kencing manis dan masalah buah pinggang sejak hampir 10 tahun lalu.

“Kehidupan kami sudah jauh berubah. Suami tak boleh buat kerja berat. Kalau dulu kami berniaga kuih-muih, sekarang semuanya bergantung kepada anak-anak.

“Dulu Firdaus berbasikal ke tempat kerja, tapi basikal itu sudah rosak. Alhamdulillah, ada rezeki lebih dia beli motosikal murah untuk cari rezeki,” ujarnya.

Kesusahan keluarga ini tidak terhenti di situ. Dua lagi anak mereka, Mohd Amirul Aiman Tuah, 18, dan Mohd Hairi Hazuan Tuah, 16, terpaksa berhenti sekolah lebih awal demi membantu keluarga dengan menjual ikan di sekitar kawasan Penunjuk.

Ditanya mengenai perancangan menyambung pengajian anak-anak, Norma mengakui, kekangan kewangan menjadi penghalang utama untuk mereka meneruskan persekolahan.

Selain itu, keluarga tersebut turut berdepan dugaan apabila terpaksa berpindah ke rumah sewa lain selepas kediaman lama mereka dirobohkan tuan tanah empat bulan lalu.

“Rumah sewa sekarang perlu bayar kira-kira RM300 sebulan. Memang susah, tapi saya bersyukur anak-anak faham keadaan kami,” katanya.

Kesempitan hidup keluarga berkenaan mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal yang tampil menziarahi dan menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas bagi meringankan beban yang ditanggung.

Ringkasan AI

  • Mohd Firdaus Faziah, seorang pemuda 21 tahun dari Penunjuk, Kijal, terpaksa menjadi ketua keluarga kerana ibu bapanya mengalami komplikasi penyakit kronik
  • Sejak di bangku sekolah, dia telah melakukan pelbagai kerja sampingan untuk menyara keluarganya menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama
  • Ibunya, Norma Aini Saad, dan ayahnya, Tuah Zainal Abidin, menghidap penyakit kronik yang menghalang mereka daripada bekerja
  • Dua adiknya, Mohd Amirul Aiman Tuah dan Mohd Hairi Hazuan Tuah, terpaksa berhenti sekolah untuk membantu keluarga dengan menjual ikan
  • Keluarga tersebut kini hidup dalam keadaan kesusahan dan bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta sumbangan dari pihak lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!