Ketukan misteri ganggu penduduk kampung

KUANTAN - Ketukan misteri yang didakwa berlaku di Kampung Relong, Lipis dan kampung sekitarnya sejak 5 Januari lalu terus menjadi tanda tanya hingga meresahkan penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Relong, Ishak Mohamed, 66 berkata, ketukan misteri itu masih berlaku namun setakat ini belum dapat dipastikan sama ada ia perbuatan pihak tidak bertanggung jawab yang sengaja menakutkan penduduk atau wujud unsur lain.
Menurutnya, sejak 5 Januari lalu, pihaknya menerima 12 aduan berhubung gangguan itu.

"Berdasarkan aduan diterima, penduduk terlibat mendakwa pintu rumah mereka diketuk beberapa kali namun tidak ternampak sebarang kelibat di luar rumah.
"Gangguan itu dikatakan berlaku antara jam 10 malam hingga 5 pagi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Ishak berkata, beberapa tindakan telah diambil termasuk melakukan rondaan bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi setiap malam sejak 7 Januari lalu.
Katanya, sepanjang rondaan dilakukan penduduk itu, tiada sebarang kelibat misteri dikesan namun gangguan tetap berlaku.
"Ada penduduk dakwa gangguan berlaku sebelum dan selepas waktu rondaan pula, itu yang memeningkan kami.
"Rondaan itu akan diteruskan. Pada masa sama, pihak polis juga telah dimaklumkan mengenai gangguan tersebut dan anggotanya telah dikerah untuk tugas rondaan," katanya.

Jelasnya, penduduk juga bercadang untuk mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam sebagai ikhtiar membantu kesan punca kejadian ketukan misteri yang menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk itu.
Katanya, cadangan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama ketua kampung lain yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap gangguan berkenaan.
Ringkasan AI
- Ketukan misteri berlaku di Kampung Relong, Lipis dan kampung sekitarnya sejak 5 Januari menyebabkan kebimbangan penduduk
- Ketukan diduga sebagai perbuatan pihak tidak bertanggung jawab atau unsur lain
- Sebanyak 12 aduan diterima mengenai gangguan ketukan pada pintu rumah tanpa kelibat orang
- Rondaan dilakukan dari jam 12 tengah malam hingga 4 pagi tetapi gangguan tetap berlaku tanpa sebarang kelibat dikesan
- Penduduk bercadang mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam untuk mencari penyelesaian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

