Pembonceng motosikal berkuasa tinggi maut kemalangan

Keadaan kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu–Gua Musang berhampiran simpang Manek Urai Baru pada Ahad.
Keadaan kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu–Gua Musang berhampiran simpang Manek Urai Baru pada Ahad.
A
A
A

KUALA KRAI – Seorang pembonceng maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu–Gua Musang berhampiran simpang Manek Urai Baru di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, lelaki berusia 27 tahun berkenaan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP).

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati Perodua Viva terbabit datang dari arah Kota Bharu dan mahu memasuki simpang sebelah kanan menghala ke Kampung Manek Urai.

“Motosikal yang dinaiki mangsa pula datang dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu. Setiba di lokasi, motosikal itu telah melanggar sisi bahagian hadapan sebelah kiri kereta yang datang dari arah bertentangan ketika sedang membelok ke kanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan manakala penunggang motosikal itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Mazlan memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk proses bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau menghubungi talian 09-9666222,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pembonceng motosikal berkuasa tinggi maut kemalangan di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu–Gua Musang
  • Lelaki berusia 27 tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra
  • Perodua Viva bertembung dengan motosikal semasa cuba membelok ke Kampung Manek Urai
  • Penunggang motosikal hanya luka ringan, sementara pembonceng mengalami kecederaan parah
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!