Mencari ikan Amerika di Cameron Highlands

SELEPAS beberapa kali tertangguh, hasrat untuk memancing ikan largemouth bass (LMB) di kawasan tadahan air di Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang akhirnya menjadi kenyataan.
Saya bersama Awie, Ramli dan Bukhori datang ke sini bulan lalu dengan tujuan menambahkan lagi senarai koleksi tangkapan peribadi masing-masing.
Walaupun LMB memegang status sebagai ikan pendatang berasal dari Amerika Syarikat, spesies ini agak ‘istimewa’ kerana habitatnya terkawal dan hanya diketahui bermastautin di kawasan berair sejuk di sini sahaja.

Tidak seperti ikan pendatang lain seperti peacock bass, baung ekor merah, baung Amazon, tilapia, bandaraya yang menguasai banyak perairan air tawar negara.
Di sini kami menaiki bot yang disewa dan memilih kaedah mengilat serta pancing layang sebagai teknik pancingan.
Menurut Awie, memancing LMB memberikan pengalaman berbeza dan sukar dilupakan.

“Akhirnya aku berjaya juga dapat lesen ikan ini,” katanya tersenyum lebar.
Meskipun daya juang ikan ini tidak sekuat ikan tempatan seperti kelah dan sebarau, LMB adalah ikan sukan yang menjadi tumpuan dalam pertandingan bass fishing seperti Bassmaster Classic dan Major League Fishing di Amerika Syarikat, serta antara pencetus kepada industri peralatan memancing di Jepun.
Ramli pula berkata, tidak kisah apapun saiz LMB yang diperoleh, asalkan berjaya mendapatkan lesen.

“Kalau nak memancing ikan ini, kita kena pergi ke Tasik Biwa di Jepun atau di China, tentunya memerlukan kos yang tinggi untuk ke sana.
“Tapi di Cameron Highlands pun boleh dapat ikan ini,” katanya.
Sepanjang sesi memancing, pemerhatian saya mendapati ikan LMB agak mudah diperoleh selepas waktu hujan. Ditambah dengan suhu dingin di sini, ia menjadi sangat aktif.

Apabila matahari kembali muncul, ikan ini sudang kurang aktif mengejar gewang jenis permukaan, soft plastic, poper fly dan clouser yang kami gunakan.
Rata-rata LMB kami peroleh bersaiz kecil, sekitar panjang 18 hingga 22 sentimeter (cm) dan saiz terbesar saya peroleh ialah 28 cm, mungkin disebabkan kekurangan sumber makanan semula jadi di sini.

Bagi saya, pengalaman memancing LMB ini bukan hanya tentang dapat lesen ikan baharu, tetapi juga tentang kebersamaan, gelak tawa, dan kenangan indah bersama rakan-rakan dalam suasana kabus dingin tanah tinggi yang sukar dilupakan.
Ringkasan AI
- Hasrat untuk memancing ikan largemouth bass di Blue Valley, Cameron Highlands menjadi kenyataan
- Ikan largemouth bass adalah spesies pendatang dari Amerika Syarikat yang habitatnya terkawal di Cameron Highlands
- Kami menggunakan teknik pancing mengilat dan pancing layang
- Largemouth bass adalah ikan sukan yang popular dalam pertandingan memancing di Amerika Syarikat dan mempunyai peranan dalam industri peralatan memancing di Jepun
- Memancing ikan largemouth bass memberi pengalaman berbeza yang melibatkan kebersamaan dan kenangan indah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
