Jika itu menyinggung DAP, saya tarik balik - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu.
Ahmad Zahid ketika ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataan berhubung kewujudan 'Team A' dan 'Team B' dalam DAP, sekiranya ia menyinggung parti berkenaan.

Malah Presiden UMNO itu menjelaskan, apa yang dimaksudkan adalah bagi menjelaskan terdapat kenyataan-kenyataan bercanggah daripada segelintir pemimpin DAP terhadap isu yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini.

"Jika (kenyataan) itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu. Tetapi tidak langsung menjadi maksud kepada saya untuk menggambarkan terdapat atau wujud dua kem dalam parti berkenaan.

"Cuma mungkin terdapat perbezaan pendapat yang kecil (antara pemimpin DAP) dan ini disebutkan juga oleh Datuk Seri Johari Ghani dan juga Timbalan Presiden (UMNO), Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kita tidak seharusnya mengambil pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama DAP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilapor menafikan dakwaan wujud 'Team A' dan 'Team B dalam parti itu, selain menegaskan adalah tidak logik untuk beliau mendedahkan perkara berkaitan dalaman partinya kepada pihak luar.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Tahunan DAP Selangor, Anthony bagaimanapun mengakui ada menyuarakan pandangan berhubung kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, khususnya berkaitan reaksi terhadap keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu Ahmad Zahid menjelaskan, kenyataan yang dibuatnya ketika ucapan penangguhan Perhimpuan Agung UMNO pada Sabtu bagi memperjelas pertelingkahan berterusan membabitkan pemimpin DAP tertentu dengan Muhamad Akmal.

"Maka diperjelaskan bahawa isu-isu dibangkitkan itu bukan asas kepada keputusan rasmi parti, tetapi dibangkitkan oleh mereka iaitu satu kumpulan kecil terhadap apa yang dinyatakan Ketua Pemuda UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, itu cuma satu gambaran, bukan satu keabsahan kewujudan 'team' (kem) di dalam DAP," ujarya.

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataan tentang kewujudan 'Team A' dan 'Team B' dalam DAP jika ia menyinggung
  • Menjelaskan terdapat kenyataan bercanggah dari segelintir pemimpin DAP adalah asas perkara itu dibangkitkan
  • Mengakui kemungkinan terdapat perbezaan pendapat kecil antara pemimpin DAP
  • Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan wujudnya 'Team A' dan 'Team B' dalam DAP
  • Ahmad Zahid menjelaskan isu dibangkitkan bukan asas keputusan rasmi parti, tetapi pandangan kumpulan kecil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!