'Saya hantar makanan untuknya tapi abah tiada'

Ahmad Kusyairi
Ahmad Kusyairi
A
A
A

 

PUNCAK ALAM – “Kami sangat bimbang keselamatan abah, kami tidak tahu sama ada dia sudah makan dan minum atau di mana dia tidur sejak menghilang".

Itu luahan Ahmad Firdaus Ahmad Kusyairi, 23, mengenangkan keadaan bapanya, Ahmad Kusyairi Abd Rashid, 49, yang dilaporkan hilang sejak 18 Disember lalu.

Beliau berkata, bapanya mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) masalah mental serta mengalami komplikasi kesihatan akibat serangan angin ahmar itu dipercayai keluar dari bilik sewa di Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam dan gagal dihubungi sehingga kini.

Katanya, sebelum ini bapanya tinggal bersama datuk dan nenek, namun atas beberapa faktor, dia dan abangnya memindahkan lelaki itu ke bilik sewa berhampiran rumahnya sejak 16 Disember lalu bagi memudahkan pemantauan.

"Sebelum ini kami sentiasa berhubung melalui WhatsApp dan saya juga akan menghantar makanan kepada abah sebelum pergi bekerja.

"Pada jam 11.25 malam, 17 Disember lalu, abah beritahu mahu ke kedai, namun saya melarang kerana bimbang akan keselamatannya,” katanya pada Khamis.

Ahmad Firdaus berkata, pada keesokan pagi, bapanya hanya membalas mesej pada tengah hari dengan memaklumkan dia sesat sebelum komunikasi terputus apabila mesej seterusnya tidak lagi dibalas.

"Pada Jumaat lalu, saya ke bilik sewa untuk menghantar makanan tetapi abah tiada, mulanya saya sangka dia ke surau.

Artikel Berkaitan:

"Namun apabila saya kembali semula, abah masih tidak pulang dan telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi,” katanya.

Menurutnya, penyewa lain memaklumkan terdengar bunyi kenderaan selepas subuh yang dipercayai datang mengambil bapanya.

"Kami mencari abah setiap hari tetapi masih belum ada sebarang petunjuk.

"Ada seorang lelaki turut memaklumkan abah pernah menyatakan hasrat untuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyemak bantuan yang dimohon,” katanya.

Tambahnya, adik-beradik bapanya turut membantu usaha pencarian, namun setakat ini masih belum menemui sebarang perkembangan.

"Kami terlalu risau, lebih-lebih lagi keadaan kesihatan abah yang tidak stabil sejak diserang angin ahmar lebih setahun lalu.

"Kami hanya berharap abah selamat dan dapat ditemui dalam masa terdekat,” katanya.

Ahmad Firdaus berkata, usaha pencarian diteruskan termasuk meminta bantuan rakan penghantar makanan untuk menguar-uarkan kehilangan bapanya serta berkongsi maklumat di media sosial.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Ahmad Kusyairi diminta menghubungi Ahmad Firdaus di talian 011-51561240 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran, selain menghubungi Ketua Polis Balai Saujana Utama, Fuzi Kamazan di talian 012-3818167.

Sebelum ini, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan lelaki berusia 49 tahun itu selepas menerima laporan kehilangan pada jam 9.36 pagi, Ahad lalu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!