'Kaki melepuh, bernanah selepas bertungku'

Kaki Hasmawati berlubang dan dia kini sudah tidak mampu berjalan.
Kaki Hasmawati berlubang dan dia kini sudah tidak mampu berjalan.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang ibu kepada enam anak kini berdepan ujian berat apabila kaki kanannya mengalami luka bernanah dan berlubang akibat komplikasi penyakit diabetes yang dihidapinya sejak 15 tahun lalu.

Hasmawati Mohd Razali, 42, berkata, keadaan tersebut bermula selepas dia mengalami kebas kaki dan mengambil inisiatif untuk bertungku sebagai usaha melegakan kesakitan yang dialami.

“Beberapa hari selepas itu, kulit kaki mula melepuh dan semakin teruk hingga bernanah. Sekarang kaki saya berlubang dan sudah tidak mampu berjalan.

“Saya mencuci luka di hospital, dan doktor beritahu kalau isi kaki tidak tertutup, mereka mungkin perlu ambil isi paha untuk tampal pada kaki kanan yang berlubang,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Mengkebang di sini pada Ahad.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Asnaf Cempaka Merah, Che Norhayati Mohamed hadir menyampaikan sumbangan wang zakat dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.

Hasmawati (kanan) menunjukkan kaki kanannya yang berbalut selepas dicuci.
Hasmawati (kanan) menunjukkan kaki kanannya yang berbalut selepas dicuci.

Menurut Hasmawati, dia disahkan menghidap diabetes ketika mengandungkan anak kelima, dan sejak itu perlu bergantung kepada ubat serta kawalan pemakanan.

Kecederaan yang dialami menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja sebagai pembantu kedai makan di Guchil yang sebelum ini menjadi sumber pendapatan hariannya, sekitar RM45 sehari.

Artikel Berkaitan:

Kini, keluarga itu hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan, selain bantuan ibu mentuanya, Minah Mat Hassan, 76.

Suaminya, Mohd Zaharuddin Junoh, 46, pula menghidap penyakit saraf tunjang dan tidak mampu berjalan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, dia lumpuh akibat kemalangan pada usia 17 tahun, namun sebelum ini masih boleh bekerja sebagai pemandu kereta sewa dengan bantuan anak-anak dan rakan yang membantunya keluar masuk kenderaan.

“Tetapi sejak dua tahun lalu, keadaan saya makin lemah dan tak mampu bekerja langsung,” katanya.

Mohd Zaharuddin (kiri) dibantu Shahrul Nizam untuk mengalihkan kakinya.
Mohd Zaharuddin (kiri) dibantu Shahrul Nizam untuk mengalihkan kakinya.

Mohd Zaharuddin juga tidak dapat menjalani fisioterapi secara berkala di Hospital Sultan Ismail Petra seperti disyorkan, berikutan kekangan kewangan dan kereta keluarga yang rosak.

Pasangan itu berkahwin 11 tahun lalu dan tidak dikurniakan anak bersama, namun Mohd Zaharuddin menjaga enam anak tiri, iaitu anak Hasmawati daripada perkahwinan terdahulu.

Tiga anak telah berkahwin manakala tiga lagi masih bersekolah dan dua daripada mereka iaitu Shahrul Nizam Megat, 15, dan Mohd Haikal, 11, merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dan menerima bantuan JKM sebanyak RM1,800 setahun setiap seorang.

Che Norhayati (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada Mohd Zaharuddin (dua dari kiri).
Che Norhayati (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada Mohd Zaharuddin (dua dari kiri).

“Kalau tak ada duit sangat, kami makan nasi dengan kuah mi segera atau lauk telur masak kicap saja,” ujar Mohd Zaharuddin.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Hasmawati Mohd Razali (Bank Islam) bernombor 03045024654439.

Ringkasan AI

  • Seorang ibu kepada enam anak mengalami luka bernanah dan berlubang pada kaki kanan akibat komplikasi diabetes
  • Hasmawati Mohd Razali mengidap diabetes sejak 15 tahun lalu dan keadaan kaki makin teruk hingga tidak mampu berjalan
  • Keluarganya bergantung kepada bantuan RM450 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan ibu mentua
  • Suaminya, Mohd Zaharuddin Junoh, menghidap penyakit saraf tunjang dan tidak mampu berjalan serta bekerja
  • Pasangan ini menjaga enam anak tiri Hasmawati dengan tiga daripada mereka masih bersekolah dan dua anak OKU pembelajaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!