Enam bulan fikir sebelum peluk Islam

KUANTAN – Seorang pekebun daripada masyarakat Orang Asli mengambil masa enam bulan untuk berfikir dan menilai secara mendalam sebelum membuat keputusan memeluk Islam.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) (Baitulmal dan Operasi), Dr Asmadi Abdul Rahman selepas Adi Atou, 52, melafazkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Pengurus MUIP Kuantan, Mohd Muzil Adli Ne’mat baru-baru ini.
Menurut Asmadi, keputusan Adi yang berasal daripada suku Jakun di Gedung Siam itu dipengaruhi oleh pergaulan rapatnya dengan masyarakat Islam setempat.
“Selain faktor persekitaran, dorongan daripada ahli keluarga dan saudara-mara yang telah lebih awal memeluk Islam turut menjadi faktor penguat untuk beliau kembali kepada agama fitrah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas mengenai statistik pengislaman di negeri ini, Asmadi mendedahkan seramai 527 individu daripada pelbagai latar belakang etnik telah didaftarkan sebagai saudara baharu.
Jelasnya, daripada jumlah keseluruhan itu, masyarakat Orang Asli kekal sebagai kumpulan terbesar yang memilih Islam sebagai pegangan hidup iaitu seramai 335 orang.
“Trend ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif di Pahang manakala baki 192 individu lagi terdiri daripada pelbagai bangsa lain.
“Kita akan menyantuni golongan mualaf ini bukan sahaja dari sudut pendaftaran, malah merangkumi aspek kebajikan dan pendidikan agama yang berterusan,” ujarnya.
Asmadi turut memaklumkan, setiap saudara baharu akan dibimbing melalui kelas fardu ain serta layak menerima bantuan yang sewajarnya.
Ujar beliau, langkah tersebut bagi memastikan golongan berkenaan dapat memulakan kehidupan baharu dengan lebih sempurna.
“Kita tidak mahu mereka berasa terasing selepas memeluk Islam.
“Sebaliknya, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap daripada mereka menerima sokongan moral dan bimbingan agama yang secukupnya,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pekebun Orang Asli mengambil masa enam bulan memutuskan untuk memeluk Islam
- Keputusannya dipengaruhi oleh pergaulan rapat dengan masyarakat Islam dan dorongan keluarga
- Seramai 527 individu dari pelbagai etnik memeluk Islam di Pahang, dengan 335 dari Orang Asli
- MUIP menyediakan bimbingan dan bantuan untuk memastikan mualaf memulakan kehidupan baru
- Langkah ini bertujuan supaya mualaf tidak berasa terasing dan mendapat sokongan moral serta bimbingan agama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

