Polis Selangor tangkap 364 individu ingkar PKP

Arjunaidi pada sidang media berkenaan Ops Covid-19 Kontinjen Selangor di IPK Selangor, Shah Alam semalam.
Arjunaidi pada sidang media berkenaan Ops Covid-19 Kontinjen Selangor di IPK Selangor, Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor merekodkan 364 tangkapan termasuk 14 wanita kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya telah menerima 409 laporan dan 191 kes telah disiasat.

"Sebanyak lapan kes telah dituduh di mahkamah mengikut siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Kes selebihnya masih menunggu kebenaran daripada pihak mahkamah bagi tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu, terdapat beberapa laluan di Selangor seperti di Kota Damansara dan Petaling Jaya akan ditutup secara berperingkat untuk permudahkan lagi PKP serta mengurangkan lagi pergerakan orang awam.

Katanya, buat masa ini, empat hingga lima laluan telah ditutup di Petaling Jaya dan berkemungkinan jumlah penutupan itu akan bertambah secara berperingkat.

Mengulas tentang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di daerah Hulu Langat, Arjunaidi berkata, orang ramai usah panik kerana perintah itu hanya melibatkan kira-kira lima kilometer radius.

"Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Batu 21, 22, 23, 24, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai.

Artikel Berkaitan:

"Di kawasan terbabit, penyebaran wabak agak serius dan kerjasama penduduk amat diperlukan sepenuhnya untuk mengelak penyebaran wabak (Covid-19) merebak," katanya.