Harga minyak mentah Brent turun lebih empat peratus susulan ketegangan AS-Iran

KUALA LUMPUR - Harga minyak mentah Brent susut lebih empat peratus pada Khamis selepas Iran, satu daripada pengeluar minyak terbesar memberi amaran iaitu negara itu akan bertindak balas terhadap ancaman asing.
Ini susulan peningkatan perhatian antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat (AS) terhadap protes anti‑kerajaan di negara berkenaan.
Sehingga 10.22 malam, harga Brent merosot 4.03 peratus kepada AS$59.52 setiap tong selepas seorang anggota G7 menyatakan mereka kekal bersedia untuk mengenakan langkah sekatan tambahan sekiranya Iran terus bertindak tegas terhadap protes dan perbezaan pendapat.
Awal hari ini, Presiden AS, Donald Trump tidak menolak untuk mengenakan tindakan ketenteraan berhubung tindakan ganas Iran terhadap penunjuk perasaan anti‑kerajaannya.
Harga minyak mentah Brent dijangka berdepan tekanan menurun berterusan sepanjang 2026 dengan harga dijangka berakhir pada sekitar AS$57 setiap tong apabila bekalan tambahan memasuki pasaran minyak global yang sudah berlebihan, kata graduan ekonomi Jack Reid dari firma perundingan global Oxford Economics kepada Bernama.
Beliau berkata, harga minyak mungkin kembali ke sekitar AS$60 setiap tong pada suku pertama tahun ini kerana pasaran tidak menjangka perkembangan geopolitik terkini yang melibatkan Iran dan Venezuela akan menyebabkan gangguan bekalan yang berterusan.
"Kami tidak menjangkakan perubahan berterusan daripada garis dasar kami daripada mana-mana konflik ini seperti yang berlaku dan ketika protes diselesaikan di Iran," kata Reid.
Reid berkata, pada masa ini tiada bukti gangguan dalam data pasaran minyak frekuensi tinggi di Iran, sambil menekankan industri minyak negara itu distrukturkan untuk kekal berdaya tahan di tengah-tengah pergolakan dan sekatan dalaman.
Katanya, tidak mungkin mogok buruh atau gangguan domestik memberi kesan yang ketara terhadap pengeluaran minyak Iran yang kekal agak stabil dan pada paras tinggi sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Reid berkata, kesan terhadap pasaran minyak global dijangka kekal terhad kecuali berlaku peningkatan ketara termasuk campur tangan ketenteraan.
Beliau juga berkata, pergerakan harga semasa tidak mencerminkan harga pasaran yang mengambil kira kejutan bekalan besar.
Iran merupakan antara pengeluar utama Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sedang berdepan demonstrasi anti‑kerajaan terbesar dalam beberapa tahun.
Tindakan keras kerajaan terhadap penunjuk perasaan mengakibatkan ribuan orang ditahan dengan Trump memberi amaran tentang kemungkinan untuk mengambil tindakan ketenteraan.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Tenaga Kanan ABN Amro Bank, Moutaz Altaghlibi berkata, pasaran minyak bertindak balas terhadap sekatan sekunder AS baru-baru ini dengan AS mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 25 peratus ke atas barangan dari negara yang membeli minyak Iran.
Beliau menambah, penguasaan Iran dalam bekalan minyak global adalah sekitar empat peratus, sesuatu yang agak besar.
Jelasnya, lebihan bekalan menyebabkan harga terhad buat masa ini.
"Saya tidak fikir para peniaga bimbang tentang keselamatan bekalan, seperti yang dapat dilihat semasa perang selama 12 hari pada Jun.
"Risiko sebenar adalah penutupan Selat Hormuz yang akan menjejaskan aliran minyak Timur Tengah, mewakili kira‑kira 30 peratus bekalan global. Kesan harga bagi kejadian sedemikian akan sangat tinggi,” kata Altaghlibi. - Bernama
Ringkasan AI
- Harga minyak mentah Brent susut lebih empat peratus selepas Iran memberi amaran akan bertindak balas terhadap ancaman asing
- Penurunan harga berlaku susulan peningkatan perhatian antarabangsa terhadap protes anti-kerajaan di Iran
- Presiden AS, Donald Trump, tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran
- Harga minyak dijangka berdepan tekanan menurun berterusan hingga 2026 dengan bekalan tambahan memasuki pasaran
- Iran, salah satu pengeluar utama OPEC, menghadapi demonstrasi anti-kerajaan terbesar dalam beberapa tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
