Penerbangan Malaysia Airlines ke Eropah ikut jadual, lencongan bagi laluan terjejas

Operasi penerbangan penumpang dan kargo Malaysia Airlines ke London, Paris, dan Amsterdam terus beroperasi tanpa gangguan. Gambar hiasan
Operasi penerbangan penumpang dan kargo Malaysia Airlines ke London, Paris, dan Amsterdam terus beroperasi tanpa gangguan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan semua penerbangan penumpang Malaysia Airlines ke London dan Paris serta operasi kargo ke Amsterdam yang menggunakan laluan Timur Tengah, terus beroperasi mengikut jadual susulan penutupan sementara ruang udara Iran.

Menurutnya, penerbangan yang terjejas pula dilencongkan melalui laluan penerbangan alternatif seperti yang ditetapkan termasuk koridor Afghanistan.

"Laluan ini merupakan alternatif yang biasa dan diluluskan serta digunakan berdasarkan keadaan angin semasa bagi memastikan laluan penerbangan yang paling optimum,” kata kumpulan itu kepada Bernama hari ini.

Iran menutup sementara ruang udaranya kepada semua penerbangan kecuali ketibaan dan pelepasan penerbangan awam antarabangsa yang dibenarkan dengan alasan protokol keselamatan.

Bagaimanapun, ruang udara Iran dibuka semula hari ini selepas penutupan sementara kepada kebanyakan penerbangan yang tamat tempoh.

Semakan di laman sesawang pengesanan penerbangan FlightRadar24 menunjukkan penerbangan disambung semula dengan masuk dan keluar dari ruang udara Iran, walaupun jumlah pesawat yang menggunakan laluan tersebut masih terhad.

Notis awal menyatakan ruang udara Tehran akan kekal ditutup sehingga 15 Januari dengan hanya penerbangan awam tertentu dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Langkah itu diambil ketika ketegangan serantau dan domestik semakin memuncak termasuk protes anti-kerajaan di Iran serta peningkatan penelitian antarabangsa.

MAG berkata syarikat penerbangan kebangsaan akan terus memantau situasi dan mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa bagi melindungi penumpang dan kru.

Artikel Berkaitan:

"Keselamatan kekal sebagai keutamaan tertinggi bagi Malaysia Airlines,” tambahnya. - Bernama 

Ringkasan AI

  • Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan operasi penerbangan penumpang dan kargo Malaysia Airlines ke London, Paris, dan Amsterdam terus beroperasi tanpa gangguan
  • Penerbangan yang terjejas akibat penutupan ruang udara Iran dilencongkan melalui laluan alternatif termasuk koridor Afghanistan
  • Laluan alternatif tersebut dipilih berdasarkan keadaan angin semasa untuk memastikan efisiensi penerbangan
  • Ruang udara Iran ditutup sementara namun telah dibuka semula hari ini kepada kebanyakan penerbangan
  • Malaysia Airlines menekankan keselamatan sebagai keutamaan utama dan akan terus mematuhi piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!