Doktor ditahan disyaki bunuh isteri dan anak
JOHOR BAHRU – Seorang doktor disyaki membunuh isteri dan anak lelakinya dalam kejadian di sebuah kediaman di Bandar Dato’ Onn, di sini, pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, mangsa seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai akauntan ditemui meninggal dunia dengan kesan kecederaan kelar di leher kira-kira jam 8.20 pagi.
Menurutnya, anak lelaki mangsa berusia empat tahun turut ditemukan tidak bernyawa dengan kesan kebiruan di bahagian muka dipercayai akibat tekupan.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian wanita tersebut adalah akibat asphyxia related death, manakala punca kematian kanak-kanak berkenaan disebabkan smothering dan kematian kedua-duanya dipercayai berunsurkan jenayah.
Katanya, susulan siasatan yang dijalankan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai doktor dan merupakan suami kepada mangsa pada 3 Januari lalu.
“Polis turut merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan, antaranya sebilah pisau serta sebiji bantal bersama sarung,” katanya.
Menurut beliau, suspek direman selama 13 hari bermula 4 hingga 16 Januari bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan awal air kencing juga negatif dadah,” katanya.
Tambah beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan suspek diputuskan untuk dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, satu pertuduhan di bawah Seksyen 201 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan prosiding mahkamah.
Ringkasan AI
- Seorang doktor disyaki membunuh isteri dan anak lelakinya di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru pada 31 Disember
- Isteri doktor yang berusia 36 tahun dan berkerja sebagai akauntan ditemui meninggal dengan kesan kelar di leher
- Anak lelaki berusia empat tahun ditemukan tidak bernyawa dengan kesan kebiruan di muka akibat tekupan
- Polis menahan suami mangsa, seorang doktor berusia 33 tahun pada 3 Januari untuk siasatan
- Suspek akan dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pertuduhan lain di mahkamah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

