Pengecualian levi HRD Corp untuk institusi pendidikan swasta bermula 2026
KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan pengecualian pembayaran Levi Pembangunan Sumber Manusia bagi majikan berdaftar dalam sektor pendidikan swasta selama setahun bermula Januari hingga Disember 2026.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pengecualian itu selaras dengan keputusan Kerajaan yang dibuat pada tahun 2025 dan melibatkan institusi pendidikan swasta termasuk prasekolah, sekolah, institusi vokasional serta penyedia pendidikan tinggi.
Menurut beliau, langkah tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,500 majikan dengan anggaran pelepasan levi melebihi RM35 juta.
Ramanan berkata, pengecualian ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan Malaysia dengan memastikan institusi kekal berdaya tahan, terus melahirkan bakat berkemahiran dan bersedia menghadapi masa depan, serta menjamin kesinambungan dan kualiti penyampaian pendidikan.
“Sebagai tonggak asas kepada pertumbuhan negara, sektor pendidikan memainkan peranan kritikal dalam membangunkan bakat masa hadapan dan memperkukuh saluran modal insan jangka panjang Malaysia,” katanya.
Tambahnya, langkah berkenaan mencerminkan fokus Kerajaan MADANI dalam mempertingkatkan pembangunan bakat dan tenaga kerja, selain komitmen menyokong ekosistem pendidikan yang mampan dan berdaya tahan.
Pelaksanaan inisiatif itu akan dikendalikan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perasmian Minggu Latihan Kebangsaan pada Jun 2025.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan tersebut dan akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Kami akan memudah cara pelaksanaan inisiatif ini bagi memastikan institusi pendidikan yang layak dapat menikmati manfaatnya sekali gus memperkukuh sektor pendidikan,” katanya.
Perincian pelaksanaan turut dikongsikan semasa lawatan kerja rasmi Ramanan ke HRD Corp baru-baru ini yang merupakan lawatan pertama beliau sejak memegang jawatan pada Disember 2025 bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Lawatan itu menzahirkan penyelarasan erat antara KESUMA dan HRD Corp dalam menterjemahkan dasar tenaga kerja nasional kepada pelaksanaan yang berkesan.
Di bawah kerangka levi sedia ada, bayaran levi bagi Januari 2026 lazimnya perlu dijelaskan pada atau sebelum 15 Februari 2026, manakala bayaran levi bagi Disember 2026 perlu dibayar pada atau sebelum 15 Januari 2027. Institusi yang layak akan dikecualikan daripada pembayaran levi bagi tempoh yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
