Sangka ikan besar di Sungai Kelantan, rupanya wanita hampir lemas

Engku Aris memegang tangan wanita yang ditemui di Sungai Kelantan.
Engku Aris memegang tangan wanita yang ditemui di Sungai Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua pemancing terkejut apabila objek dilihat di tengah-tengah Sungai Kelantan di sini yang disangkakan ikan besar rupanya-rupanya seorang wanita yang hanyut hampir lemas pada Khamis.

Wanita berusia lingkungan 50-an itu ditemui pada jam 8.30 pagi.

Salah seorang pemancing, Engku Aris Raja Yaacob, 68, dan rakan kemudian berjaya menyelamatkan mangsa dengan membawanya ke tebing.

“Kami masing-masing mengemudi satu bot, mula-mula kawan saya nampak sesuatu yang tenggelam timbul dan melambai ke arah saya.

“Kami ingatkan ikan, apabila datang dekat memang terkejut rupa-rupanya wanita dengan keadaan nyawa-nyawa ikan,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Wanita berkenaan dibawa ke hospital dengan ambulans.
Wanita berkenaan dibawa ke hospital dengan ambulans.

Kedua-dua pemancing itu sebelumnya baru lima minit turun mengemudi bot dari Jeti Kutan, Wakfa Bharu, Tumpat, melalui Sungai Kelantan untuk memancing di kawasan berhampiran sebelum menjumpai mangsa di kawasan berdekatan Jeti Feri, di sini.

“Saya pegang tangan dia untuk dibawa ke tebing dan kemudian segera menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Unit Marin Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Mansor Ab Rashid berkata, enam anggotanya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati seorang wanita tidak pasti warganegara dalam keadaan masih bernyawa berada di tebing sungai dengan dikawal bot orang awam.

"Mangsa diangkat ke darat dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan dan tindakan lanjut," katanya.

Ringkasan AI

  • Dua pemancing terkejut menemui wanita hanyut di Sungai Kelantan
  • Wanita itu berusia lingkungan 50-an ditemui pada jam 8.30 pagi
  • Engku Aris Raja Yaacob dan rakan menyelamatkan mangsa ke tebing
  • Pemancing awalnya mengira objek dalam air adalah ikan besar
  • Mangsa diselamatkan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!