'Saya ingin tahu Akmal nak serang siapa' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid. Foto: Bernama
Ahmad Zahid. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bagi mendapatkan penjelasan berhubung maksud kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO itu susulan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri ingin mengetahui sasaran sebenar yang dimaksudkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, selain menegaskan bahawa tindakan melepaskan jawatan adalah keputusan peribadi.

“Saya ingin tahu, saya akan jumpa beliau, beliau nak serang siapa dalam perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan logo baharu Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Muhamad Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Menurut beliau, keputusan tersebut diambil bagi membolehkan beliau memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP, yang disifatkannya sebagai musuh yang nyata.

Sementara itu, mengulas mengenai pandangan serta cadangan yang dikemukakan berkaitan hala tuju kerjasama politik, Ahmad Zahid menegaskan bahawa perkara tersebut wajar dibincangkan melalui saluran rasmi parti.

“Itu cadangan dan saranan, tetapi keputusan muktamad datang daripada kepimpinan atasan UMNO, khususnya Majlis Tertinggi.

“Boleh kemukakan pandangan dalam Majlis Tertinggi apabila kita adakan mesyuarat kelak,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan peletakan jawatannya
  • Ahmad Zahid ingin mengetahui sasaran sebenar kenyataan yang dibuat oleh ADUN Merlimau itu
  • Muhamad Akmal meletakkan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka untuk fokus menentang DAP
  • Ahmad Zahid menekankan cadangan dan pandangan mengenai kerjasama politik harus dibincangkan melalui saluran rasmi parti
  • Keputusan muktamad mengenai kerjasama politik akan datang dari kepimpinan atasan UMNO, khususnya Majlis Tertinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!