Pedofilia guna AI hasilkan ribuan video penderaan seksual kanak-kanak pada 2025

Menurut kajian, daripada 3,440 video dihasilkan AI, sebanyak 2,230 video adalah dalam kategori paling melampau di bawah undang-undang United Kingdom. Foto hiasan
Menurut kajian, daripada 3,440 video dihasilkan AI, sebanyak 2,230 video adalah dalam kategori paling melampau di bawah undang-undang United Kingdom. Foto hiasan
A
A
A

LONDON - Kecerdasan buatan (AI) digunakan oleh pedofilia untuk menghasilkan ribuan video penganiayaan seksual kanak-kanak tahun lepas sekali gus meningkatkan jumlah bahan berkenaan secara mendadak dalam talian, menurut aktivis perlindungan kanak-kanak, lapor PA Media/dpa.

Menurut Internet Watch Foundation (IWF), penganalisis mereka menemukan 3,440 video penganiayaan seksual kanak-kanak dihasilkan AI pada 2025, berbanding hanya 13 pada 2024.

Keseluruhannya, petugas IWF menangani 312,030 laporan sah imej disalah guna dalam talian pada 2025 iaitu peningkatan berbanding 291,730 pada tahun sebelumnya.

Menurut kajian itu, daripada 3,440 video dihasilkan AI, sebanyak 2,230 video adalah dalam kategori paling melampau di bawah undang-undang United Kingdom iaitu kategori A dan 1,020 adalah kedua paling melampau.

Ketua Eksekutif IWF Kerry Smith berkata: "Apabila imej dan video kanak-kanak dianiaya secara seksual disebarkan dalam talian, ia membuatkan semua orang terutamanya kanak-kanak terbabit, kurang selamat.”

"Penganalisis kami bekerja tanpa jemu untuk mengeluarkan imej-imej ini untuk memberikan sedikit harapan kepada mangsa. Tetapi kini AI telah bergerak ke tahap sedemikian, penjenayah pada dasarnya boleh mempunyai mesin penderaan seksual anak mereka sendiri untuk membuat apa sahaja yang mereka mahu lihat.”

"Peningkatan menakutkan dalam video penganiayaan seksual kanak-kanak kategori A melampau yang dijana AI menunjukkan jenis perkara yang diingini oleh penjenayah. Dan ia berbahaya."

Beliau berkata, ketersediaan mudah bahan ini hanya akan menggalakkan mereka yang mempunyai minat seksual terhadap kanak-kanak serta pengkomersilannya dan seterusnya membahayakan kanak-kanak dalam dan luar talian.

"Kini kerajaan di seluruh dunia mesti memastikan syarikat AI menerapkan (ciri-ciri) keselamatan mengikut prinsip reka bentuk sejak awal lagi. Adalah tidak boleh diterima bahawa teknologi dikeluarkan yang membolehkan penjenayah mencipta kandungan ini,” katanya. - Bernama-PA Media/dpa

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kecerdasan buatan digunakan oleh pedofilia untuk menghasilkan ribuan video penganiayaan seksual kanak-kanak
  • Internet Watch Foundation mendapati peningkatan video AI dari 13 pada 2024 ke 3,440 pada 2025
  • Petugas IWF menangani 312,030 laporan sah imej disalah guna dalam talian pada 2025
  • Sejumlah 2,230 video daripada AI adalah dalam kategori paling melampau undang-undang UK
  • Ketersediaan bahan ini menggalakkan minat seksual terhadap kanak-kanak dan membahayakan mereka dalam dan luar talian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!