Lotong Bukit Melawati ganggu penduduk sejak PKP

Mohamad Solleh yang menggunakan akaun nama Facebook Pak Leh memuat naik status berhubung gangguan haiwan liar berkenaan.
Mohamad Solleh yang menggunakan akaun nama Facebook Pak Leh memuat naik status berhubung gangguan haiwan liar berkenaan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira lebih 300 penduduk di Taman Bendahara termasuk beberapa taman berhampiran menghadapi tekanan berikutan gangguan sekumpulan lotong yang mencari makanan.

Kumpulan lotong yang menjadi tarikan pengunjung di Bukit Melawati itu dipercayai 'menyerang' kawasan kediaman penduduk apabila kelaparan selepas tidak lagi menerima makanan daripada pengunjung yang singgah di Bukit Melawati berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seorang penduduk di Taman Bendahara, Mohamad Solleh Abdullah Hamid, 29, berkata, serangan lotong di kawasan kediaman penduduk semakin membimbangkan sejak seminggu lalu.

"Punca utama lotong berkeliaran mungkin disebabkan tiada pengunjung di Bukit Melawati disebabkan PKP ini.

"Biasanya pengunjung yang singgah ke tempat sejarah (Bukit Melawati) akan bergambar dan memberi makanan kepada lotong, namun keadaan jauh berbeza selepas perlaksanaan PKP ini.

"Di sebalik penduduk berada di rumah, lotong ini pula mengganggu penduduk hingga haiwan ini bertindak agresif dengan memanjat bumbung rumah dan merosakkan tanaman," katanya.

Mohamad Solleh berkata, penduduk hilang sabar dengan perlakuan kumpulan haiwan liar itu walaupun dihalau menggunakan kayu.

"Malah lotong terbabit akan bertindak agresif hingga menyebabkan penduduk berasa tidak selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad Solleh, tanaman seperti betik yang diusahakan penduduk sering dipetik haiwan itu sehingga tidak sempat menikmati hasilnya.

Justeru, katanya, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) diminta mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah berkenaan.

"Saya berharap perkara ini diatasi segera dan kita bimbang jika ada penduduk yang cedera disebabkan gangguan haiwan liar ini," katanya.

Sebelum ini, Mohamad Solleh yang menggunakan akaun nama Facebook Pak Leh memuat naik status berhubung gangguan lotong di sekitar taman berkenaan.

Status dan gambar yang dimuat naik di Facebook itu mendapat pelbagai tanda reaksi dan komen daripada pengendali Facebook lain.

Seorang pemilik akaun Facebook, Ayang Zahary dalam ruangan komen memaklumkan, tanamannya turut dimusnahkan kumpulan lotong berkenaan.

"Sudah tidak boleh buat apa-apa sebab kumpulan haiwan ini terlalu banyak.

"Habis segala daun kunyit, daun kari dan pandan dirosakkan," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut daripada MDKS dan pihak berwajib.