Kira-kira 1,000 penduduk terjejas jambatan runtuh

Kira-kira 1,000 penduduk daripada empat kampung dekat sini mengharapkan pihak berwajib segera membina baharu serta membaik pulih dua jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan yang runtuh dan uzur. - Foto Bernama
Kira-kira 1,000 penduduk daripada empat kampung dekat sini mengharapkan pihak berwajib segera membina baharu serta membaik pulih dua jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan yang runtuh dan uzur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERANG - Kira-kira 1,000 penduduk daripada empat kampung dekat sini mengharapkan pihak berwajib segera membina baharu serta membaik pulih dua jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan yang runtuh dan uzur.

Empat kampung itu ialah Kampung Nahan, Kampung Pong Selatan, Kampung Chanding dan Kampung Lamdin.

Seorang penduduk Kampung Nahan, Wichit Soowan, 55, berkata, jambatan di Kampung Nahan yang menjadi laluan utama penduduk empat kampung itu untuk ke dusun dan tanah perkuburan Islam telah runtuh sejak 25 Oktober tahun lepas sekali gus menyukarkan pergerakan mereka.

"Selepas runtuh ia menjejaskan aktiviti harian penduduk kerana terpaksa menggunakan jalan alternatif sejauh kira-kira lima kilometer.

"Jambatan ini dah 15 tahun, rumah saya antara yang paling dekat dengan tanah perkuburan Islam, tidak sampai 50 meter... sekarang ada orang meninggal dunia pun saya tak tahu, mereka perlu telefon saya untuk maklum kepada kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu.

Seorang penduduk Kampung Pong Selatan, Affendi Ramli, 48, pula berharap jambatan yang uzur di kampung berkenaan dapat dibaiki pulih ataupun dibina baharu untuk melancarkan perjalanan mereka keluar mencari rezeki.

"Penduduk kampung ini kebanyakannya buat kerja pertanian yang menggunakan jambatan ini sebagai laluan ke kebun getah dan (ladang) nanas dalam kawasan kampung ini. Bayangkan kalau jambatan ini runtuh, kami penduduk Kampung Pong Selatan akan terputus hubungan untuk keluar masuk," katanya.

Affendi berkata, beliau bimbang perkara tidak diingini berlaku sekiranya jambatan uzur itu tidak dibaiki ataupun digantikan segera memandangkan sudah kelihatan retak pada bahagian tengah sekali gus tidak digalakkan untuk kenderaan berat melalui jambatan itu.

"Kalau kita tengok di bawah jambatan ini, sudah nampak ketara retak di bahagian tengah dan mampu menampung kenderaan ringan sahaja. Orang kampung tak berani nak angkut hasil getah dan nanas untuk dijual

"Kalau nak juga terpaksa menggunakan kenderaan yang kecil dengan muatan minimum kerana bimbang jambatan akan runtuh," katanya yang turut memaklumkan telah menghantar permohonan jambatan baharu kepada pihak pejabat penghulu. - Bernama