AS serang Venezuela: Apa yang anda perlu tahu

Penyokong bersenjata Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, berkumpul berhampiran Istana Presiden Miraflores di Caracas pada 3 Januari 2026, selepas beliau ditangkap oleh pasukan Amerika Syarikat. - AFP
Penyokong bersenjata Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, berkumpul berhampiran Istana Presiden Miraflores di Caracas pada 3 Januari 2026, selepas beliau ditangkap oleh pasukan Amerika Syarikat. - AFP
A
A
A

SELEPAS berbulan-bulan tekanan ketenteraan dan ekonomi yang semakin memuncak, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu melancarkan serangan udara ke atas sasaran di seluruh Venezuela dan mendakwa telah menyingkirkan Presiden, Nicolas Maduro.

Bagaimana ia bermula?

Letupan pertama, disertai bunyi pesawat terbang di ruang udara, didengari di ibu negara Caracas dan kawasan sekitarnya sejurus sebelum jam 2.00 pagi (waktu tempatan), menurut wartawan AFP.

Letupan berterusan sehingga kira-kira jam 3.15 pagi.

Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan helikopter berlatarbelakangkan langit malam serta peluru berpandu menghentam sasaran, menghasilkan bola api dan kepulan asap besar.

Trump berkata di platform Truth Social miliknya bahawa AS telah berjaya melancarkan serangan berskala besar ke atas Venezuela dan Maduro serta isterinya telah ditangkap dan diterbangkan keluar dari negara itu.

Kira-kira lima jam selepas serangan bermula, Senator AS Mike Lee memetik Setiausaha Negara AS Marco Rubio sebagai berkata tindakan ketenteraan itu telah berakhir 'sekarang' setelah Maduro berada dalam tahanan.

Apakah sasaran serangan?

Fort Tiuna, kompleks ketenteraan terbesar Venezuela yang terletak di selatan Caracas, merupakan antara sasaran serangan.

Artikel Berkaitan:

Pangkalan besar itu menempatkan kementerian pertahanan, akademi ketenteraan serta kediaman anggota tentera dan keluarga mereka.

Wartawan AFP melihat api dan kepulan asap besar menjulang dari kompleks berkenaan.

Di salah satu pintu masuk yang masih dikawal, wartawan AFP melihat sebuah kenderaan perisai dan lori yang dipenuhi kesan tembakan peluru.

Penduduk yang menarik beg pakaian dan membawa beg dilihat melarikan diri dari kawasan itu.

Seorang wanita, yang enggan dikenali, berkata dia meninggalkan kawasan tersebut sambil berkata,"mereka hampir membunuh kami”.

Setakat ini tiada maklumat mengenai korban.

Pangkalan udara La Carlota di timur Caracas turut diserang.

Wartawan AFP melihat sebuah kenderaan perisai di pangkalan itu terbakar serta sebuah bas yang hangus.

Letupan turut dilaporkan di bandar pelabuhan La Guaira di utara Caracas, serta di bandar Maracay di utara-tengah negara itu, Higuerote di pesisir Laut Caribbean, dan di kawasan sempadan dengan Colombia — laluan penyeludupan kokain.

Adakah terdapat korban?

Menteri Pertahanan Venezuela, Vladimir Padrino Lopez, menuduh tentera AS melancarkan peluru berpandu dan roket ke kawasan perumahan.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat disahkan serta-merta.

Tiada maklumat segera mengenai jumlah korban.

Padrino berkata kerajaan sedang mengumpul maklumat mengenai mereka yang terkorban dan cedera.

Adakah Maduro telah digulingkan?

Trump berkata Maduro dan isterinya, Cilia Flores, telah ditangkap dan diterbangkan keluar dari Venezuela.

Bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana mereka berjaya menangkap Maduro, yang dilaporkan sering menukar tempat tinggal bagi mengelakkan dirinya ditangkap oleh tentera AS.

Pada Khamis, beliau dirakam oleh televisyen sedang memandu di Caracas.

Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, pada Sabtu menggesa AS mengemukakan bukti bahawa pasangan presiden itu masih hidup”.

Rusia, salah satu sekutu utama Venezuela, turut menuntut penjelasan “segera” mengenai nasib Maduro.

Bagaimana reaksi dunia?

Rusia, Iran dan Cuba — sekutu lama Venezuela — semuanya mengecam serangan tersebut, begitu juga Mexico dan Brazil yang masing-masing diperintah kerajaan berhaluan kiri, serta presiden berhaluan kiri Colombia, negara jiran Venezuela.

Kementerian Luar Rusia berkata tindakan pencerobohan bersenjata terhadap Venezuela itu adalah amat membimbangkan.

Ketua diplomat Kesatuan Eropah, Kaja Kallas, dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio, menggesa Washington supaya menunjukkan kawalan diri dan menghormati undang-undang antarabangsa.

Presiden berhaluan kanan Argentina, Javier Milei, yang dikenali sebagai penyokong kuat Trump, merupakan antara segelintir pemimpin Amerika Latin yang menyokong serangan tersebut.

Ringkasan AI

  • Selepas berbulan-bulan tekanan ketenteraan dan ekonomi, Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas Venezuela dan menyingkirkan Presiden Nicolas Maduro
  • Letupan pertama didengari di ibu negara Caracas dan kawasan sekitarnya sebelum jam 2.00 pagi waktu tempatan
  • Trump mengumumkan di platform Truth Social bahawa AS telah melancarkan serangan besar ke atas Venezuela dan Maduro serta isterinya telah ditangkap
  • Adakah sasaran serangan termasuk Fort Tiuna, kompleks ketenteraan terbesar di Venezuela dan pangkalan udara La Carlota di timur Caracas
  • Rusia, Iran, Cuba, Mexico, dan Brazil mengecam serangan tersebut, sementara Argentina menyokong tindakan AS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!