AS 'tawan' Presiden Venezuela

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu mengesahkan pasukan tentera mereka berjaya menawan pemimpin haluan kiri Venezuela, Nicolas Maduro selepas melancarkan serangan berskala besar yang menggegarkan negara Amerika Selatan itu.
"Maduro bersama isterinya telah diterbangkan keluar dari negara itu," ujarnya menerusi platform Truth Social.
Trump turut memaklumkan beliau akan mengadakan sidang media berhubung perkembangan konflik itu pada jam 11 pagi (waktu tempatan) di kediamannya, Mar-a-Lago di Florida.
Terdahulu, ibu kota Caracas digegarkan dengan siri serangan pada jam 2 pagi (waktu tempatan) hingga menyebabkan Maduro terpaksa mengisytiharkan darurat dan mengutuk kempen pencerobohan itu.
Rangkaian media di Washington turut mengesahkan operasi ketenteraan itu dilancarkan tentera AS setelah ketegangan semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu.
'Penculikan' Maduro berlaku sehari selepas beliau menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Washington selepas negara itu menjadi sasaran serangan atas alasan mahu memerangi sindiket dadah. - AFP
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengesahkan pasukan tentera AS menawan pemimpin Venezuela,
- Nicolas Maduro
- Maduro dan isterinya diterbangkan keluar dari negara itu
- Trump akan mengadakan sidang media berhubung perkembangan konflik di Mar-a-Lago, Florida
- Ibu kota Caracas digegarkan dengan siri serangan yang memaksa Maduro mengisytiharkan darurat
- Operasi ketenteraan AS dilancarkan setelah ketegangan memuncak, sehari selepas Maduro nyatakan kesediaan berunding dengan Washington
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

