Universiti India dikecam pamer robot China sebagai hasil ciptaan sendiri

NEW DELHI – Sebuah universiti di India berdepan kecaman hebat selepas seorang pensyarahnya didakwa mempamerkan sebuah robot anjing buatan China sebagai hasil ciptaan institusi berkenaan pada satu sidang kemuncak kecerdasan buatan (AI) utama negara itu.
Insiden berkenaan berlaku ketika Sidang Kemuncak India AI Impact Summit berlangsung di ibu negara apabila Profesor Komunikasi, Neha Singh, memaklumkan kepada penyiar milik kerajaan, DD News, bahawa robot yang dikenali sebagai ‘Orion’ itu dibangunkan oleh Pusat Kecemerlangan di Universiti Galgotias.
Bagaimanapun, pengguna media sosial pantas mengenal pasti robot tersebut sebagai Unitree Go2 yang dijual oleh syarikat China, Unitree Robotics, pada harga kira-kira AS$2,800 (sekitar RM10,900) dan digunakan secara meluas dalam bidang penyelidikan serta pendidikan di peringkat global.
Pendedahan itu mencetuskan kritikan tajam serta menimbulkan persoalan terhadap aspirasi India dalam bidang AI.
Situasi menjadi lebih memalukan apabila Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat India, Ashwini Vaishnaw turut berkongsi klip video berkenaan di akaun media sosial rasminya sebelum ia dipadam susulan gelombang kecaman.
Universiti Galgotias dan Singh kemudian menjelaskan bahawa robot berkenaan bukan ciptaan universiti tersebut dan pihaknya tidak pernah mendakwa sebaliknya.
“Mari kita jelaskan, Galgotias tidak membina robot anjing ini dan kami juga tidak pernah mendakwa demikian.
“Apa yang kami bangunkan ialah minda yang kelak akan mereka bentuk, merekayasa dan menghasilkan teknologi seperti ini,” menurut kenyataan universiti itu di platform X.
Setakat Rabu, reruai universiti berkenaan masih dibuka kepada pengunjung dengan pegawainya menjawab pertanyaan media berhubung dakwaan plagiarisme dan kenyataan ‘palsu’.
Menurut laporan Reuters, wakil universiti memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang komunikasi rasmi berhubung dakwaan diarahkan meninggalkan sidang kemuncak tersebut.
Parti pembangkang, Indian National Congress, menggunakan insiden itu untuk mengkritik Perdana Menteri, Narendra Modi, yang menjadi tuan rumah kepada hampir 20 pemimpin dunia serta puluhan delegasi kebangsaan sepanjang sidang kemuncak lima hari itu.
“Kerajaan Modi telah menjadikan India bahan ketawa dunia berhubung AI. Dalam sidang kemuncak yang sedang berlangsung, robot China dipamerkan sebagai milik kita sendiri,” menurut kenyataan parti itu di platform X.
Sidang Kemuncak India AI Impact Summit yang berlangsung sehingga Sabtu itu dipromosikan sebagai perhimpunan AI utama pertama yang dianjurkan di negara Global Selatan.
Antara tokoh yang dijadual menyampaikan ucaptama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai; Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman; serta Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Dario Amodei.
Sejak dibuka pada Isnin, acara itu turut dilaporkan berdepan beberapa masalah organisasi termasuk kesesakan dan isu logistik.
Namun begitu, lebih AS$100 bilion (sekitar RM391 bilion) pelaburan dalam projek AI di India dilaporkan telah dijanjikan sepanjang sidang kemuncak berkenaan, termasuk daripada konglomerat Adani Group, syarikat teknologi Microsoft dan firma pusat data Yotta. - Agensi
Ringkasan AI
- Universiti di India dikritik selepas pensyarah didakwa pamerkan robot anjing buatan China sebagai ciptaan sendiri di Sidang Kemuncak India AI
- Pengguna media sosial kenal pasti robot sebagai Unitree Go2, produk syarikat China Unitree Robotics
- Pendedahan mengundang kritikan dan persoalan terhadap aspirasi India dalam AI
- Universiti Galgotias dan Profesor Neha Singh nafi dakwa mengaku cipta robot, menyata minda dibangunkan untuk teknologi serupa
- Insiden dilihat memalukan secara terbuka, termasuk Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat India berkongsi klip video pembohongan sebelum padam selepas kecaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

