Peluru masih tertanam di lengan, hospital dituduh cuai rawat remaja

Sebuah hospital didakwa cuai dalam memberikan rawatan kepada remaja yang terkena tembakan dalam serangan di Bangkok, Thailand. Foto: The Thaiger.
Sebuah hospital didakwa cuai dalam memberikan rawatan kepada remaja yang terkena tembakan dalam serangan di Bangkok, Thailand. Foto: The Thaiger.
A
A
A

BANGKOK - Sebuah hospital di kawasan Ramkhamhaeng, Thailand, didakwa cuai dalam memberikan rawatan sewajarnya apabila membenarkan seorang remaja pulang dengan peluru masih tertanam di lengannya.

Menurut laporan The Thaiger, mangsa bersama dua rakan berusia 15 dan 16 tahun dikatakan telah diserang sekumpulan remaja yang tidak dikenali menggunakan senjata ketika menunggang motosikal.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa dilaporkan parah, dengan seorang masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan, manakala dua yang lain dibenarkan pulang.

Aduan kecuaian itu kemudiannya disuarakan kepada Setiausaha kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia (M-Society), Thanakrit Jit-areerat.

Thanakrit berkata, pengarah hospital dan kakitangan perubatan yang terlibat telah dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhubung rawatan yang diberikan.

Menurut pihak hospital, mangsa yang cedera di kepala telah menerima jahitan dan menjalani pemeriksaan sinar-X sebelum doktor mengesahkan keadaannya stabil serta selamat untuk pulang.

Hospital turut memaklumkan bahawa mangsa yang mempunyai peluru di lengan telah menjalani pemeriksaan sinar-X dan tiada kerosakan pada tisu atau organ penting dikesan.

Justeru, dia dibenarkan pulang kerana tidak semua kes tembakan memerlukan pembedahan untuk mengeluarkan peluru.

Bagaimanapun, Thanakrit memaklumkan bahawa mangsa berkenaan akan dipindahkan ke Hospital Rajavithi untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pegawai M-Society akan terus memantau kes berkenaan memandangkan ketiga-tiga mangsa masih di bawah umur.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan remaja yang dipercayai terlibat dalam serangan tersebut.

Setakat ini, identiti penyerang masih belum didedahkan kepada umum.

Ringkasan AI

  • Hospital di Ramkhamhaeng, Thailand, dituduh cuai apabila seorang remaja dibenarkan pulang walaupun masih ada peluru di lengannya
  • Mangsa berumur 15 dan 16 tahun diserang oleh sekumpulan remaja tidak dikenali semasa menunggang motosikal
  • Seorang mangsa masih dalam rawatan ICU sementara dua lainnya dibenarkan pulang
  • Setiausaha kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia, Thanakrit Jit-areerat, telah dimaklumkan mengenai aduan kecuaian tersebut
  • Mangsa yang ada peluru di lengannya akan dipindahkan ke Hospital Rajavithi untuk rawatan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!