Anak monyet temui kasih sayang dalam pelukan patung Orang Utan

ICHIKAWA – Seekor anak monyet berusia enam bulan, dinamakan Punch, mencuri perhatian ramai selepas ditinggalkan oleh ibunya dan menemui 'pengganti' dalam pelukan sebuah patung orang utan.
Kisahnya bukan sekadar keajaiban dunia haiwan, tetapi juga gambaran betapa alam semula jadi kadang-kala kejam.
Punch dilahirkan pada 26 Julai 2025 di Zoo Bandar Ichikawa, Tokyo, dengan berat hanya 500 gram.
Ibunya, yang keletihan akibat kelahiran pertamanya pada musim panas, gagal menjaga anaknya.
Menyedari bayi monyet itu dalam bahaya, penjaga zoo Kosuke Shikano dan Shumpei Miyakoshi mengambil alih tanggungjawab membesarkannya.
Untuk menggantikan kasih sayang ibu, penjaga menyediakan beberapa tuala dan mainan lembut, tetapi Punch memilih sebuah patung orang utan yang lebih besar daripadanya.
Dalam video yang tular, anak monyet itu dilihat menyedut ibu jarinya sambil memeluk patung tersebut erat-erat, menundukkan kepala seolah-olah merasai kehangatan ibu yang tiada.

Patung itu kini menjadi 'ibu gantian' yang memberikan rasa selamat dan keselesaan emosi setiap hari.
Shikano menjelaskan, “Anak monyet secara semula jadi melekat pada ibu sejak lahir untuk keselesaan dan membina kekuatan. Patung orang utan ini memberikan dia rasa selamat, seolah-olah ibu sendiri ada di sisinya.”
Sejak Januari 2026, Punch mula diperkenalkan kepada kumpulan kecil monyet lain di zoo.
Walaupun berinteraksi dengan monyet lain, Punch tidak pernah melepaskan patung orang utannya, menandakan ikatan emosi yang kuat dan memberi pengajaran bahawa kasih sayang boleh datang dalam pelbagai bentuk.
Kisah ini menyentuh hati ramai netizen di Jepun dan antarabangsa.
Tanda pagar #HangInTherePunch menjadi simbol simpati dan harapan, menggambarkan betapa makhluk kecil ini mampu menemui penganti walau ditinggalkan ibu.
Shikano menambah, “Walaupun sering dimarahi monyet lain, Punch cepat pulih. Dia belajar setiap hari cara hidup dalam kumpulan sambil tetap memeluk patung orang utan itu. Ia menyentuh hati sesiapa sahaja yang melihatnya.”
Zoo Bandar Ichikawa berkata, kisah Punch kini menjadi tarikan utama pelawat, menyedarkan semua bahawa kasih sayang dan ketabahan boleh wujud walau dalam situasi paling sukar.- Agensi
Ringkasan AI
- Anak monyet bernama Punch mencari keselesaan dengan patung orang utan setelah ditinggalkan ibunya
- Punch lahir di Zoo Bandar Ichikawa, Tokyo, dan gagal dirawat oleh ibunya yang keletihan
- Penjaga zoo, Kosuke Shikano dan Shumpei Miyakoshi, mengambil alih tanggungjawab membesarkannya
- Patung orang utan menjadi 'ibu gantian' bagi Punch, memberikan rasa selamat dan keselesaan emosional
- Diperkenalkan kepada monyet lain di zoo, Punch tetap tidak melepaskan patungnya, menunjukkan ikatan emosi yang kuat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
