33 isu teknikal LRT3 Shah Alam sudah ada penyelesaian, masih diuji sepenuhnya

SHAH ALAM - Kesemua 33 isu teknikal yang dikenal pasti sebelum ini membabitkan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam telah mempunyai penyelesaian, namun masih belum diuji sepenuhnya bagi memastikan ia benar-benar berfungsi dengan sempurna.
Ketua Operasi Laluan Shah Alam, Mohd Ariffin Idris berkata, ketika ini pihaknya sedang dalam proses pengujian berterusan bagi mengesahkan sama ada penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar menyelesaikan semua isu berkenaan.
"Penyelesaian kepada 33 isu itu sebenarnya sudah ada, tetapi kita belum uji sepenuhnya. Sekarang ini proses pengujian sedang berjalan dan masih berterusan untuk pastikan semuanya benar-benar selesai," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Mohd Ariffin memberitahu, antara aspek penting diberi perhatian ialah peningkatan sistem perisian terkini yang dijangka dapat menyelesaikan masalah baharu yang mungkin timbul sepanjang proses pengujian.
"Perisian adalah komponen yang sangat penting kerana kita perlu naik taraf kepada baseline terbaharu supaya ia dapat menangani isu-isu teknikal yang dikenal pasti sepanjang ujian dijalankan,” katanya.
Mengulas perkembangan semasa projek LRT3 laluan Shah Alam, beliau berkata, pihaknya kini masih dalam proses menjalankan ujian larian tanpa gagal (FFR) ke atas semua tren yang akan beroperasi di laluan berkenaan.
"Di Shah Alam, kita ada 22 tren dan setiap tren perlu melalui ujian FFR ini serta dipantau oleh APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat). Ini prosedur standard dan jika gagal, kita tidak boleh membuka operasi,” jelas beliau.
Beliau berkata, walaupun terdapat tiga tren yang sudah mencapai jarak perjalanan ditetapkan, ia tetap perlu dinilai semula oleh APAD bagi memastikan semua kriteria dipenuhi sepenuhnya.
"Semua tren mesti lulus FFR, sistem dan laluan mesti 100 peratus siap sebelum kita benar-benar bersedia," ujar beliau.
Menurutnya, ujian FFR dijalankan 24 jam sehari termasuk pada waktu malam, malah kepakaran daripada pengeluar asal peralatan (OEM) turut dibawa masuk bagi menangani isu teknikal tertentu termasuk sistem isyarat dari Jerman dan tren dari China.
"Sepanjang proses ujian ini, memang ada kemungkinan kita akan jumpa masalah baharu. Apa saja isu yang timbul ketika ‘dry run' (ujian operasi), kita akan atasi sehingga benar-benar stabil,” katanya.
Berhubung tarikh pembukaan LRT3 kepada orang awam, Mohd Ariffin berkata, pihak pengurusan tertinggi dijangka mengumumkan unjuran rasmi sekitar Januari tahun depan.
"Pihak pengurusan akan mengadakan sidang media untuk memaklumkan perkembangan dan unjuran terkini. Buat masa ini, proses FFR masih berjalan dan kita belum boleh beri tarikh tepat," tambah beliau.
Sinar Harian 10 Disember lalu melaporkan, Prasarana Malaysia Bhd mendedahkan sebanyak 33 isu teknikal melibatkan ralat perisian dan gangguan sistem dikenal pasti sepanjang tempoh dua setengah bulan ujian LRT Laluan Shah Alam sekali gus menjadi faktor utama kelewatan operasi laluan baharu itu.
Dalam kenyataannya, Prasarana berkata, antara isu utama yang dikenal pasti termasuk tren gagal berhenti tepat di platform sehingga menyebabkan pintu tidak berfungsi.
Kenyataan itu memberitahu, isu lain yang dikesan ialah kegagalan tren bergerak secara automatik ke stesen berikutnya, kelajuan tren tidak mengikut tetapan sistem serta pergerakan minimum tren ketika sepatutnya statik.
Ringkasan AI
- Kesemua 33 isu teknikal dalam projek LRT3 Laluan Shah Alam telah mempunyai penyelesaian namun masih dalam pengujian
- Proses pengujian berterusan diperlukan untuk memastikan penyelesaian isu teknikal benar-benar efektif
- Mohd Ariffin Idris menekankan peranan penting perisian terkini dalam menangani isu teknikal
- Semua tren di laluan Shah Alam mesti lulus ujian larian tanpa gagal (FFR) yang dipantau oleh APAD
- Pihak pengurusan dijangka mengumumkan tarikh pembukaan LRT3 kepada orang awam pada Januari tahun depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

