Healing di hutan, risiko di tapak perkhemahan

FENOMENA healing melalui aktiviti perkhemahan dan glamping kini bukan lagi sekadar trend bermusim, sebaliknya semakin diterima sebagai gaya hidup baharu masyarakat di negara ini.
Aktiviti yang dahulunya sinonim dengan perkhemahan unit beruniform dan cabaran fizikal di hutan kini berubah wajah daripada ruang berpeluh kepada medium terapi mental, simbol status serta sebagai kandungan popular di media sosial.
Jika dahulu berkhemah dikaitkan dengan aktiviti lasak dan disiplin diri, namun pada masa kini ia menjadi elemen visual menarik untuk ditayang di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Dari perspektif sosiologi, sebahagian daripada fenomena itu berlaku kerana budaya takut ketinggalan dan mahu mengikut trend, bukan kerana minat atau kesedaran terhadap alam sekitar.
Di sebalik tarikan tersebut, aspek keselamatan terus menjadi perhatian serius di tapak perkhemahan.
Tragedi tanah runtuh mengorbankan 31 nyawa di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022 membuka mata banyak pihak mengenai risiko aktiviti perkhemahan di kawasan berisiko.
Susulan itu, kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan mula memperketatkan penguatkuasaan lesen dan Garis Panduan Perancangan (GPP).
Langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan kerajaan itu bertujuan memastikan setiap tapak perkhemahan mematuhi syarat keselamatan asas termasuk jarak selamat dari sungai, cerun dan kawasan yang dikenal pasti berisiko bencana.
Pengalaman lalu membuktikan perubahan cuaca mendadak di kawasan tanah tinggi dan berhutan sukar dijangka menyebabkan amaran awal sering diabaikan atau tidak difahami sepenuhnya oleh pengunjung.
Keadaan ini menuntut pemantauan lebih rapi di samping maklumat risiko oleh pengusaha dan pihak berkuasa bagi mengelakkan tragedi berulang.
Bagaimanapun, penguatkuasaan lebih ketat turut memberi kesan kepada landskap industri perkhemahan apabila beberapa tapak popular terpaksa menghentikan operasi kerana gagal mematuhi piawaian ditetapkan.
Selain itu, peningkatan jumlah pengunjung menimbulkan cabaran baharu dari sudut pengurusan alam sekitar.
Tanpa kesedaran dan kawalan mencukupi, kawasan sensitif berdepan risiko kerosakan akibat aktiviti manusia tidak terkawal.
Kesan sampingan akibat peningkatan aktiviti perkhemahan semakin ketara apabila berlaku perbuatan vandalisme, pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab dan pencemaran sumber air di sekitar tapak perkhemahan.
Keadaan ini lazimnya berpunca daripada sikap segelintir pengunjung yang gagal mematuhi etika beriadah dan prinsip menjaga alam sekitar.
Lambakan pengunjung tanpa kawalan rapi turut memberi tekanan kepada kawasan sensitif khususnya di lokasi berhampiran sungai dan hutan simpan.
Sampah makanan, sisa plastik dan bahan buangan lain bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah berpotensi mengganggu hidupan liar dan menjejaskan kualiti air.
Dalam jangka panjang, kerosakan itu boleh menyebabkan ekosistem mengambil masa lama untuk pulih dan menurunkan nilai alam semula jadi sebagai tarikan pelancongan.
Tanpa kesedaran pengunjung dan penguatkuasaan berterusan oleh pihak berkuasa, aktiviti perkhemahan yang sepatutnya mendekatkan manusia dengan alam berisiko menjadi punca kemusnahan persekitaran.
*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

