Apabila kopi jadi gaya hidup

DALAM sedekad kebelakangan ini, budaya minum kopi di kafe semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya anak muda di bandar.
Jika dahulu kopi hanya dikaitkan dengan sarapan di warung atau di rumah, kini kopi telah berevolusi menjadi simbol gaya hidup moden.
Kehadiran kafe hipster, kedai kopi berkonsep minimalis serta rangkaian francais antarabangsa menjadikan kopi bukan sekadar minuman tetapi satu pengalaman sosial dan identiti.
Fenomena ini menimbulkan persoalan, adakah ia hanya trend gaya hidup yang bersifat sementara atau sebenarnya berfungsi sebagai ruang terapi sosial untuk generasi masa kini?
Pertama, fenomena kopi ini tidak dapat dipisahkan daripada perubahan gaya hidup urban. Generasi muda sering terdedah dengan tekanan kerja, kesibukan akademik dan tuntutan sosial yang tinggi.
Kafe kopi menjadi tempat persinggahan untuk melepaskan penat, berbual dengan rakan atau sekadar menikmati masa bersendirian.
Konsep me time yang semakin popular kini banyak diisi dengan secawan latte atau cappuccino di sudut kafe yang tenang. Bagi sesetengah orang, ia bagaikan bentuk meditasi moden, menikmati aroma kopi sambil menenangkan fikiran.
Selain itu, budaya kopi juga berkait rapat dengan aspek identiti dan ekspresi diri. Tidak dinafikan, wujud persepsi bahawa seseorang yang sering ke kafe adalah individu yang sofistikated, kreatif dan terbuka dengan idea baharu.
Inilah sebab mengapa ramai anak muda memilih untuk bekerja secara remote atau belajar di kafe. Suasana muzik lembut, dekorasi estetik dan akses wi-fi percuma menambah daya tarikan.
Kafe bukan sahaja ruang untuk minum, tetapi juga menjadi ‘latar’ bagi aktiviti media sosial. Gambar kopi dengan latte art atau hiasan kafe sering memenuhi Instagram, sekali gus memperkukuh imej gaya hidup yang ingin ditonjolkan.
Namun fenomena ini turut menimbulkan kritikan terhadap aspek komersial dan kos sara hidup. Secawan kopi latte di kafe boleh mencecah harga hingga RM15, jauh lebih tinggi daripada secawan kopi di kedai mamak atau warung.
Bagi sesetengah pihak, trend ini dilihat sebagai pembaziran dan sekadar mengikut arus fesyen. Lebih-lebih lagi, ada yang berpendapat bahawa budaya kopi moden ini menjauhkan generasi muda daripada warisan kopi tempatan seperti kopi kampung atau kopi o pekat yang menjadi kebanggaan masyarakat Malaysia sejak dahulu.
Hal ini mencetuskan perdebatan, adakah kita sedang kehilangan nilai tradisi kerana terlalu mengejar gaya hidup global? Walaupun begitu, tidak boleh dinafikan bahawa kafe kopi turut memainkan peranan sebagai ruang terapi sosial.
Di sinilah lahirnya perbualan bermakna, pertemuan mesra, malah idea besar yang kadangkala bermula hanya dengan secawan kopi.
Psikologi sosial menunjukkan bahawa persekitaran yang santai boleh merangsang komunikasi lebih terbuka dan kreativiti yang tinggi.
Oleh sebab itu, tidak pelik jika kafe menjadi pilihan utama untuk perbincangan kerja tidak formal, sesi brainstorming atau malah perjumpaan keluarga kecil.
Dalam konteks ini, kopi bertindak sebagai medium yang menyatukan manusia, lebih daripada sekadar minuman. Tambahan pula, budaya kopi moden membuka peluang besar dalam ekonomi kreatif dan keusahawanan.
Ramai usahawan muda tampil dengan konsep kafe unik, ada yang mengetengahkan kopi tempatan, ada yang menekankan kelestarian dengan biji kopi organik malah ada yang menggabungkan seni dan muzik dengan pengalaman minum kopi.
Fenomena ini bukan sahaja memberi nafas baharu kepada industri makanan dan minuman malah memperkayakan landskap budaya bandar. Kesimpulannya, fenomena kopi dan kafe tidak boleh dilihat secara hitam putih.
Ia memang mempunyai unsur gaya hidup dan status sosial, namun pada masa sama ia berfungsi sebagai ruang terapi sosial yang penting dalam kehidupan moden.
Dalam dunia yang serba laju, secawan kopi mampu menjadi titik henti yang membolehkan manusia bernafas sejenak. Sama ada anda melihatnya sebagai trend sementara atau budaya yang akan kekal, kopi tetap menjadi medium yang menghubungkan manusia, identiti dan pengalaman sosial.
* Syajaratulhuda Mohd Rosli ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

