67.6 hektar di Kinrara bukan lagi Hutan Simpanan Kekal

SHAH ALAM - Sebuah kawasan seluas kira-kira 67.6 hektar berhampiran Rizab Hutan Ayer Hitam di Kinrara Puchong bukan lagi Hutan Simpanan Kekal.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, pejabatnya telah mengesahkan status tanah itu bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor susulan dakwaan kawasan terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara dan Parlimen Subang itu masih merupakan hutan.
"Hasil semakan mendapati tanah tersebut pada asalnya sebahagian daripada Hutan Simpan Ayer Itam yang diwartakan pada tahun 1906 (Warta Kerajaan), namun pada tahun 1926, kawasan itu telah dinyahwarta menjadi tanah kerajaan dan seterusnya diberi milik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jamaliah berkata, perkara ini turut dimaklumkan kepada Pejabat ADUN Kinrara, Ng Sze Han yang prihatin terhadap status tanah itu dan telah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pengesahan.
Dalam pada itu katanya, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang permohonan pembangunan bagi kawasan tersebut.
"Kerajaan negeri menghargai keprihatinan orang awam dan pertubuhan masyarakat sivil terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar.
"Setiap keputusan yang dibuat akan berlandaskan fakta, peruntukan perundangan serta kepentingan jangka panjang negeri dan rakyat,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kawasan seluas kira-kira 67.6 hektar berhampiran Rizab Hutan Ayer Hitam di Kinrara Puchong bukan lagi Hutan Simpanan Kekal
- Pejabat Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengesahkan status tanah tersebut
- Tanah tersebut diwartakan sebagai Hutan Simpan Ayer Itam pada tahun 1906, tetapi dinyahwarta pada tahun 1926 menjadi tanah kerajaan dan seterusnya diberi milik
- ADUN Kinrara, Ng Sze Han telah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pengesahan status tanah itu
- Majlis Bandaraya Subang Jaya belum menerima sebarang permohonan pembangunan bagi kawasan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

