Simpan duit di bank atau bawah bantal lagi selamat?

UNGKAPAN ‘simpan duit bawah bantal lebih selamat’ suatu ketika dahulu hanya dianggap gurauan sinis di kedai kopi. Namun hari ini, perkara itu dilihat sebagai luahan jujur kepercayaan rakyat terhadap tahap keselamatan simpanan dalam sistem kewangan moden yang semakin ‘terhakis’.
Mana tidaknya, saban minggu ada sahaja laporan kehilangan wang akibat penipuan digital terpampang di dada akhbar dan media sosial.
Setiap kali tular kisah akaun dikosongkan dalam sekelip mata, persoalan sama kembali berlegar: Adakah simpanan di bank masih lebih selamat berbanding wang tunai yang disorok sendiri?
Angka rasmi menjelaskan ketakutan ini bukan rekaan. Setakat September 2025, Malaysia merekodkan 47,854 kes penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian hampir RM1.919 bilion.
Ini merupakan peningkatan ketara berbanding 35,368 kes dengan kerugian RM1.574 bilion pada 2024. Secara kasar, hampir 100 kes berlaku setiap hari, satu realiti yang sukar dinafikan dan tidak boleh lagi dipandang sebagai isu terpencil.
Fenomena ini mencerminkan jenayah digital yang semakin tersusun dan agresif daripada phishing, malware, love scam hinggalah skim pelaburan palsu disusun kemas dengan penampilan profesional. Lebih meresahkan, mangsa bukan lagi terhad kepada warga emas atau individu kurang celik teknologi.
Sebaliknya, golongan berpendidikan tinggi, profesional malah pegawai bank sendiri turut terjerat dengan merekodkan kerugian mencecah jutaan ringgit.
Institusi kewangan dan pihak berkuasa sering tampil dengan angka kejayaan. Bank Negara Malaysia melaporkan lebih RM399 juta transaksi penipuan berjaya dihalang sepanjang 2024 hasil sistem keselamatan yang dipertingkatkan.
Namun, di sebalik angka itu ia membawa mesej yang tidak selesa sekali gus memberi gambaran hanya wang yang sempat diselamatkan, bukan wang yang sudah hilang. Bagi mangsa, statistik ini tidak memulihkan trauma, apatah lagi simpanan yang lenyap.
Di sinilah lahirnya sindiran ‘bawah bantal’. Ia bukan penolakan total terhadap institusi bank, tetapi manifestasi ketidakpercayaan yang semakin menebal. Rakyat bukan antiteknologi, tidak juga menolak kemudahan perbankan.
Mereka cuma takut kehilangan hasil titik peluh tanpa jaminan pemulihan yang jelas, pantas dan adil. Apabila kisah mangsa scam muncul setiap minggu, keyakinan menjadi korban senyap.
Namun, menyimpan wang secara fizikal juga bukan jawapan mutlak. Wang tunai terdedah kepada kecurian, kebakaran, banjir dan bencana lain.
Tiada perlindungan insurans, tiada pulangan faedah dan tiada mekanisme undang-undang yang benar-benar melindungi jika musibah berlaku. Dalam jangka panjang, inflasi pula menghakis nilai wang tanpa disedari.
Hakikatnya, perdebatan ini bukan soal bank lawan bantal, tetapi soal kepercayaan terhadap sistem. Selagi risiko dipindahkan hampir sepenuhnya kepada pengguna, selagi itu rakyat akan terus mencari ‘jalan selamat’ mereka sendiri, walaupun jalan itu sebenarnya rapuh.
Pendekatan sedia ada yang bergantung kepada amaran scam selepas kerugian berlaku sudah tidak memadai. Bank, pengawal selia dan pihak berkuasa perlu bergerak lebih agresif, bukan sekadar mendidik, tetapi melindungi.
Mekanisme pampasan yang lebih jelas, tanggungjawab bersama yang tegas, serta tindakan pantas terhadap kelemahan sistem mesti menjadi keutamaan.
Jika tidak, budaya ‘simpanan bawah bantal’ akan terus membiak. Bukan kerana ia lebih selamat, tetapi kerana sistem kewangan gagal meyakinkan rakyat bahawa simpanan mereka benar-benar dilindungi.
*Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

