PM bentang RMK13 tengah hari ini

Perdana Menteri akan membentangkan RMK13 pada jam 12 tengah hari ini di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri akan membentangkan RMK13 pada jam 12 tengah hari ini di Dewan Rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada jam 12 tengah hari ini di Dewan Rakyat.

Menurut Anwar, RMK13 akan membawa natijah terbaik kepada rakyat serta meletakkan asas yang kukuh untuk Malaysia melangkah ke dekad yang lebih gemilang.

"Ayuh kita lakar semula pembangunan negara, berpaksikan rakyat dan berteraskan nilai ihsan, keadilan serta kemanusiaan.

"Diharapkan kita berupaya menggapai langit, namun tetap teguh mengakar ke bumi," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah menerima penyerahan rasmi dokumen RMK13, menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Jelas beliau, RMK13 disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus kepada pengangkatan martabat rakyat secara adil dan saksama tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan.

“Penyediaannya melibatkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pemegang taruh merentasi sektor, latar belakang dan wilayah.

“Ini termasuk kerajaan-kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.

“Insya-ALLAH saya akan membentangkan usul RMK13 di Dewan Rakyat esok (hari ini),” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Anwar turut menyatakan bahawa Kerajaan Madani mengalu-alukan perbahasan dan cadangan konstruktif daripada semua ahli Parlimen demi memperkukuh dasar serta hala tuju yang digariskan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, RMK13 akan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan negara dan rakyat, selari dengan kerangka Ekonomi Madani.

Ujarnya, prinsip utama yang mendasari RMK13 ialah konsep 'raising the ceiling and raising the floor' iaitu strategi jangka sederhana lima tahun untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kita juga akan memberi fokus kepada beberapa sektor dan industri yang menjana serta menambah nilai ekonomi. Tumpuan adalah kepada aktiviti penghiliran dan pembangunan sektor hiliran. Ini adalah secara umum,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!