Hanya Eda Ezrin, Nur Aida dibenarkan pulang hari ini

GOLOK, THAILAND - Penyanyi wanita terkenal Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan rakan, Nur Aida Mamat, 33, dibenarkan pulang ke Kelantan pada malam Khamis.
Jurucakap Imigresen Thailand bagaimanapun berkata, suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35, bersama tiga lagi individu iaitu Eridieka Mohd Noor, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Mohamad Alif Deraman, 33, masih belum dibenarkan pulang.
"Hal ini kerana keempat-empat mereka masih belum melengkapkan proses dokumentasi," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Menurut jurucakap itu lagi, kesemua mereka akan ditempatkan Depot Tahanan Imigresen Sungai Golok.
Kesemua mereka menaiki trak pikap tiba di Depo Tahanan Imigresen Thailand pada jam 5 waktu tempatan.
Terdahulu, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat di sini pada Rabu selepas Mahkamah Thailand menolak permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh rayuan buat kali keenam.
Sinar Harian pada Khamis turut melaporkan bahawa polis akan menahan semula Eda Ezrin, suaminya, serta empat lagi rakannya sejurus mereka masuk ke Kelantan.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, penahanan itu bertujuan merakam percakapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

