'Jangan tebang pokok sesuka hati'- Prabowo

ACEH - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menekankan kepentingan menjaga alam sekitar dan melarang penebangan pokok secara sembarangan semasa menziarahi mangsa bencana di pusat perlindungan sementara di Aceh Tamiang, Aceh pada Jumaat lalu.
“Kita kini perlu lebih berwaspada dan berhati-hati. Alam sekitar kita mesti dijaga. Kita tidak boleh menebang pokok sesuka hati,” tegas Presiden Prabowo ketika berucap di hadapan mangsa banjir dan tanah runtuh.
Beliau turut menekankan agar pihak kerajaan daerah meningkatkan pemantauan terhadap alam sekitar.
“Saya meminta pihak berkuasa tempatan lebih berwaspada dan mengawasi keadaan dengan rapi. Kita perlu memelihara alam sekitar sebaik mungkin,” tambah beliau.
Aceh Tamiang merupakan salah satu kawasan yang terjejas teruk akibat banjir besar dan tanah runtuh pada 25 November 2025.
Kehadiran Presiden Prabowo merupakan usaha beliau menunaikan janji terdahulu untuk meninjau keadaan semasa mangsa bencana dan memastikan bantuan disalurkan dengan berkesan.
Dalam lawatannya, Presiden menegaskan bahawa kerajaan sedang berusaha memperbaiki keadaan di kawasan terjejas, termasuk memulihkan bekalan elektrik dan kemudahan asas lain.
“Kerajaan akan turun padang untuk membantu. Kami sedang bekerja keras. Jika ada kawasan yang masih terjejas, seperti bekalan elektrik, ia sudah mula dipulihkan. Keadaan di lapangan memang mencabar, tetapi kita akan atasi bersama,” ujarnya.
Presiden Prabowo berharap penduduk tempatan dapat pulih dengan cepat dan kembali menjalani kehidupan normal.
Lawatan Presiden Prabowo ke Aceh merupakan kali ketiga sejak bencana melanda tiga provinsi di Pulau Sumatera pada akhir November 2025. - Agensi
Ringkasan AI
- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menekankan kepentingan menjaga alam sekitar dan melarang penebangan pokok secara sembarangan di Aceh Tamiang, Aceh
- Beliau menyuarakan perlunya pihak kerajaan daerah meningkatkan pemantauan terhadap alam sekitar
- Aceh Tamiang merupakan salah satu kawasan yang terjejas teruk akibat banjir besar dan tanah runtuh pada 25 November 2025
- Presiden Prabowo meninjau keadaan mangsa bencana dan memastikan bantuan disalurkan dengan berkesan
- Kerajaan sedang berusaha memperbaiki keadaan di kawasan terjejas, termasuk memulihkan bekalan elektrik dan kemudahan asas lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

