Trump nafi pernah ke Pulau Epstein

Donald Trump. Foto AFP
Donald Trump. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengunjungi pulau milik mendiang ahli kewangan dan pesalah seks, Jeffrey Epstein, malah tidak pernah berada dekat dengan tempat itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Kenyataan itu dibuat bagi menyangkal jenaka hos Anugerah Grammy, Trevor Noah, yang mendakwa Trump dan bekas Presiden AS, Bill Clinton kononnya pernah mengunjungi pulau milik Epstein itu.

"Noah telah memberikan kenyataan yang TIDAK BENAR mengenai saya, bahawa Donald Trump dan Bill Clinton pernah menghabiskan masa di Pulau Epstein. SALAH!!! Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Bill, tetapi saya tidak pernah ke Pulau Epstein, mahupun berdekatan. Malah sehingga kenyataan palsu dan berunsur fitnah malam tadi, saya tidak pernah dituduh berada di sana, walaupun oleh media berita palsu," kata Trump menerusi hantaran di Truth Social.

Beliau juga mengecam Trevor Noah, menyifatkan hos itu sebagai seorang yang "tidak kompeten” dan menegaskan perlu memastikan fakta yang betul sebelum membuat kenyataan.

"Kelihatannya saya akan menghantar peguam saya untuk menyaman hos M.C. malang ini. Bersiaplah, Noah, kerana saya akan pastikan ini menjadi pengalaman yang menyeronokkan untuk saya!” tambahnya.

Pada 30 Januari, Timbalan Peguam Negara AS, Todd Blanche mengumumkan bahawa semua bahan berkaitan kes Epstein telah didedahkan.

Melalui pendedahan terbaharu itu, jumlah keseluruhan data yang dikeluarkan melebihi 3.5 juta fail dan merangkumi sebutan mengenai ramai tokoh berpengaruh termasuk Trump, Elon Musk, Bill Gates, Clinton, dan lain-lain. - Bernama/Sputnik/Ria Novosti

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Presiden AS, Donald Trump menafikan mengunjungi pulau Jeffrey Epstein
  • Trevor Noah telah membuat jenaka mengenai Trump dan Bill Clinton berkaitan pulau tersebut
  • Trump mengecam Noah dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang
  • Semua bahan berkaitan kes Epstein telah didedahkan pada 30 Januari
  • Data yang dikeluarkan merangkumi sebutan mengenai tokoh berpengaruh termasuk Trump, Elon Musk, Bill Gates, dan Clinton

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!