Mangsa bencana di Sabah harap bantuan wang ihsan diagih segera secara telus, adil

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PENAMPANG - Mangsa yang terkesan akibat bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah berharap agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan negeri dan pusat diagihkan dengan segera secara telus serta adil.

Penduduk Kampung Tuawon di Penampang Agnes Kalos, 50, yang terjejas akibat banjir berkata, kerajaan telah mengumumkan bantuan untuk meringankan beban setiap mangsa yang terlibat dalam bencana ini.

"Namun, kita berharap bantuan kewangan ini dapat dipantau agar dapat diagihkan dengan telus dan hanya yang benar-benar layak menerima sumbangan ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi membantu mangsa bencana di Sabah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah pula memaklumkan BWI antara RM1,000 hingga RM10,000 akan disalur kepada mangsa bencana di negeri itu bagi meringankan beban yang ditanggung ketika ini.

Sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala waris mangsa yang terkorban akibat tanah runtuh pula menerima BWI kematian sebanyak RM10,000.

Setakat 8 pagi tadi, JPBN memaklumkan bahawa 2,468 orang daripada 656 keluarga berada di 19 PPS di Sabah.

Bagi seorang lagi mangsa banjir dari kampung sama iaitu Majory Yumin, 54, bantuan kerajaan itu sangat meringankan beban setiap mangsa yang terlibat.

"Kami sangat mengalu-alukan bantuan yang diumumkan kerajaan semalam dan berharap ia sampai kepada mangsa seperti kami yang sangat memerlukan… sebelum ini, banyak mangsa yang mengeluh dan tidak berpuas hati kerana bantuan berkenaan tidak sampai...," katanya.

Artikel Berkaitan:

Devie Dore Lawrence, 24, dari Kampung Tengah di Kinarut, Papar pula meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang tampil menyalurkan bantuan dapat diselaras dengan sebaik mungkin.

"Kita tahu banyak NGO dan pihak individu yang berbesar hati tampil untuk membantu menyalurkan bantuan namun adalah lebih baik bantuan berkenaan dapat dikumpul oleh agensi tertentu sebelum diagihkan supaya ia dapat disalurkan dengan lebih teratur," katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Mangsa bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah berharap Bantuan Wang Ihsan diagihkan segera, telus dan adil
  • Penduduk terjejas seperti Agnes Kalos mengharapkan pengawasan agar bantuan kewangan disalurkan kepada yang benar-benar layak
  • Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk mangsa bencana Sabah
  • JPBN Sabah umumkan BWI RM1,000 hingga RM10,000 kepada mangsa berpindah ke PPS dan waris mangsa kematian akibat tanah runtuh
  • Majory Yumin dan Devie Dore Lawrence, mangsa banjir, mengalu-alukan bantuan kerajaan dan harap bantuan NGO diselaras agar sampai kepada yang memerlukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!