Pokok Sena dilanda banjir, 200 mangsa dipindahkan ke PPS

ALOR SETAR - Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pokok Sena, malam tadi, iaitu di Dewan Serbaguna Pokok Sena bagi menempatkan 200 mangsa daripada 50 keluarga yang terjejas banjir.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa dari Mukim Gajah Mati, Mukim Tualang dan Mukim Derang itu ditempatkan di PPS itu yang dibuka pada jam 11 malam tadi.
"Kawasan-kawasan yang terlibat dari mukim berkenaan ialah Taman Puteri, Kampung Sungai Durian, Kampung Temusu dan Kampung Pulau Nyor.
"Tiga sungai di Kedah menunjukkan paras air bahaya, iaitu Sungai Nawa di Kampung Pokok Sena Lama, Pokok Sena; Sungai Chepir di Titi Pekan Sik, Sik dan Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, tiga lagi sungai berada pada tahap amaran, iaitu Sungai Muda di Ampang Jajar, Kuala Muda; Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu dan Sungai Naka di Naka, Padang Terap.
Beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air berikutan hujan lebat sejak jam 2 petang Jumaat. - Bernama
Ringkasan AI
- Pusat pemindahan sementara dibuka di Pokok Sena untuk 200 mangsa banjir dari 50 keluarga
- Mangsa banjir berasal dari Mukim Gajah Mati, Mukim Tualang dan Mukim Derang
- Kawasan terjejas termasuk Taman Puteri, Kampung Sungai Durian, Kampung Temusu dan Kampung Pulau Nyor
- Tiga sungai di Kedah mencatat paras air bahaya iaitu Sungai Nawa, Sungai Chepir, dan Sungai Ketil
- Hujan lebat sejak jam 2 petang Jumaat menyebabkan beberapa kawasan di Kedah dinaiki air
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
