Rumah pam masih berfungsi, selut dan lambakan sampah burukkan keadaan


BAGAN DATUK – Operasi kunci air dan rumah pam di Rungkup di sini disahkan masih berfungsi dan tidak mengalami kerosakan, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ir Dr Asnor Muizan Ishak.
Beliau berkata, operasi tersebut hanya terjejas buat sementara waktu akibat mendapan selut serta lambakan sampah susulan hujan ekstrem yang melanda daerah itu pada akhir November lalu sehingga mengakibatkan kejadian banjir genang.
Menurutnya, ketika hujan lebat dan banjir berlaku, air yang mengalir akan membawa bersama selut, sampah dan bahan kayu yang boleh masuk ke dalam pam serta menyebabkan pam tersebut terhenti secara automatik.
“Keadaan ini bukan bermakna pam rosak, tetapi ia perlu dihentikan seketika bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan sebelum diaktifkan semula,” katanya pada sidang akhbar selepas tinjauan di Kunci Air Tebuk Semani dan Rumah Pam Rungkup di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Asnor Muizan berkata, ketika ini JPS mengendalikan 34 kunci air di Bagan Datuk, melibatkan 24 unit di bahagian utara dan 10 unit di bahagian selatan, selain 18 rumah pam aktif yang digunakan bagi mengawal paras air serta mempercepatkan aliran keluar air dari kawasan rendah.
Katanya, situasi banjir luar jangka yang berlaku turut menjejaskan fungsi kunci air akibat mendapan selut yang berulang, meskipun kerja-kerja pengorekan telah dilaksanakan secara berkala.
“Selut ini bergerak. Walaupun kita korek hari ini, dalam tempoh dua hingga tiga bulan ia boleh mendap semula. Jika kunci air kerap dibuka dan ditutup, ia pula berisiko rosak, sebab itu operasi perlu dikawal dengan teliti,” jelasnya.
Beliau yakin Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk yang dijadualkan bermula tahun hadapan mampu menjadi penyelesaian jangka panjang bagi masalah banjir di kawasan berkenaan.
Menurutnya, proses pelantikan kontraktor projek tersebut terpaksa ditangguhkan susulan isu berkaitan jajaran projek yang memerlukan penilaian serta reka bentuk semula sebelum ia diiklankan dan ditender semula.
“Sepatutnya pelantikan dibuat sekitar Oktober dan November lalu, namun disebabkan beberapa perkara, kita perlu menilai semula jajaran tersebut. Pelantikan dijangka dibuat pada Julai tahun depan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai isu banjir genang, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri melalui JPS telah mengambil tindakan segera dengan mendalamkan kunci air serta membersihkan kelodak di bahagian dalam dan luar kunci air di Tebuk Semani.
Menurutnya, langkah seterusnya ialah penambahan pam bergerak bagi memastikan aliran keluar air dapat dipercepatkan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti kerap mengalami air bertakung.
“Kita juga mengenal pasti beberapa faktor lain yang menyumbang kepada banjir genang berpanjangan, antaranya culvert bersaiz kecil, struktur saliran tidak seragam serta perbezaan aras tanah di kawasan perumahan.
“Perkara ini akan diselaraskan bersama Pejabat Tanah supaya pemilik kediaman menggunakan kaedah yang seragam dan tidak menghalang aliran air,” katanya.
Ringkasan AI
- Operasi kunci air dan rumah pam di Rungkup masih berfungsi dan tidak rosak
- Operasi terjejas sementara akibat mendapan selut dan sampah dari hujan ekstrem
- Air mengalir bawa selut dan sampah boleh henti pam secara automatik yang memerlukan pembersihan
- JPS mengendalikan 34 kunci air dan 18 rumah pam di Bagan Datuk untuk mengawal paras air
- Projek Rancangan Tebatan Banjir Bagan Datuk diharap mampu atasi masalah banjir jangka panjang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

