Hakisan pantai kritikal, surau dan rumah penduduk berisiko lenyap

KUALA NERUS – Fenomena angin kencang dan ombak besar yang memburukkan lagi masalah hakisan di Pantai Pengkalan Maras di sini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Seorang penduduk, Zulkefli Abd Ghani, 62, berkata, keadaan itu berpunca daripada ombak besar yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Menurutnya, Surau Pantai Pengkalan Maras yang sebelum ini digunakan sebagai tempat beribadah dan aktiviti komuniti kini hanya menunggu masa untuk ditelan ombak memandangkan hampir keseluruhan kawasan tebing di hadapannya sudah terhakis.
"Ombak kuat setinggi kira-kira tiga meter membadai sehingga ke kawasan hadapan surau. Tebing pantai pula terhakis menyebabkan bangunan ini sudah tidak selamat.
"Kami hanya mampu melihat hakisan yang berlaku kerana pada musim ini ombak lebih kuat daripada biasa.
"Selain surau, beberapa rumah turut berdepan ancaman sama malah beberapa batang pokok kelapa sudah tumbang ketika air pasang besar melanda," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Sementara itu, peniaga Pasar Nelayan Pengkalan Maras, Mohd Dzulfaizi Mazlan, 41, berkata, sepanjang sembilan tahun berniaga di kawasan itu, beliau melihat sendiri kawasan belakang pasar semakin hilang sedikit demi sedikit akibat hakisan.
Menurutnya, sebelum ini jarak antara belakang pasar dengan pantai dianggarkan hampir satu kilometer selain terdapat jalan berturap dan kawasan penjaja.
"Setiap tahun dianggarkan kira-kira 30 meter kawasan pantai terhakis dan keadaan itu semakin ketara sejak tiga hingga empat tahun kebelakangan ini.
"Akhir-akhir ini ombak luar biasa sehingga memusnahkan rumah dan kedai-kedai kecil yang diusahakan penduduk," katanya.
Mohd Dzulfaizi memberitahu, kedainya juga hanya tinggal beberapa meter dari laut dan tidak mustahil akan lenyap sekiranya isu hakisan tidak ditangani dengan segera.
"Masalah hakisan di sini perlu ditangani menggunakan kaedah yang lebih berkesan kerana setiap hari ia dilihat semakin 'parah' dan merugikan penduduk.
"Ada hilang rumah, kedai dan punca pendapatan. Sebab tu tindakan segera perlu diambil supaya penduduk tidak terus dibelenggu dengan masalah ini," katanya.
Seorang peniaga kedai makan, Nor Fazilah Mustafa, 38, berkata, beliau kini berdepan ancaman sama selepas kedai ayahnya, Mustafa Sulaiman, 60, rosak akibat hakisan pada tahun lalu.
Menurutnya, kedudukan kedainya yang terletak di belakang tapak kedai lama ayahnya menyebabkan ia turut terdedah kepada risiko hakisan yang semakin teruk.
"Selepas kedai ayah rosak, saya terpaksa berhenti berniaga kedai makan dan buat perniagaan sejuk beku. Saya terpaksa menyewa di tempat lain dengan kadar sewa yang tinggi.
"Tahun ini giliran saya pula berdepan nasib sama dan tidak tahu bagaimana hendak hadapi sebab inilah satu-satunya punca rezeki saya.
"Kalau lah masalah hakisan ni tidak ditangani segera, ia bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada penduduk, malah identiti kawasan pesisir Pantai Batu Rakit ini juga berisiko hilang begitu sahaja," katanya.
Ringkasan AI
- Fenomena angin kencang dan ombak besar mencetuskan kebimbangan hakisan di Pantai Pengkalan Maras
- Ombak besar yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu terutama ketika Monsun Timur Laut
- Surau Pantai Pengkalan Maras dan beberapa rumah berdepan ancaman hakisan
- Sepanjang sembilan tahun, kawasan belakang Pasar Nelayan Pengkalan Maras semakin hilang akibat hakisan
- Masalah hakisan menimbulkan kerugian kepada penduduk dan mengancam identiti kawasan pesisir Pantai Batu Rakit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
