Didera dan tidak dibayar gaji, serbuan polis bongkar eksploitasi buruh paksa

Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam menjalankan serbuan di sebuah rumah selepas menerima laporan pemerdagangan manusia melibatkan eksploitasi buruh paksa.
Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam menjalankan serbuan di sebuah rumah selepas menerima laporan pemerdagangan manusia melibatkan eksploitasi buruh paksa.
A
A
A

SHAH ALAM – [KEMAS KINI] Dipaksa bekerja lebih masa, sering dipukul selain tidak menerima gaji sejak dua bulan lalu antara detik hitam yang ditempuh dua pembantu rumah warga Indonesia sebelum mereka diselamatkan polis dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Kayangan Heights di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol berkata, kedua-dua wanita itu disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia melibatkan eksploitasi buruh paksa.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menjalankan serbuan kira-kira jam 2.30 petang di sebuah rumah di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, polis menyelamatkan dua wanita warga Indonesia masing-masing berusia 48 tahun dan 33 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, hasil temu bual mendapati seorang mangsa telah bekerja selama dua tahun manakala seorang lagi selama sebulan dengan majikan yang sama.

"Kedua-dua mangsa mendakwa telefon bimbit dan pasport mereka dirampas, dipaksa bekerja lebih masa, sering dipukul selain tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu.

"Susulan itu, polis menahan dua wanita tempatan yang mana salah seorang merupakan ahli perniagaan dan pempengaruh bersama anaknya dipercayai majikan kepada mangsa," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek masing-masing lewat 50-an dan awal 30-an itu direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 13(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Md Anuar Md Amilah@Harun di talian 019-225 5597 bagi membantu siasatan," katanya.

Ringkasan AI

  • Dua pembantu rumah warga Indonesia diselamatkan polis daripada eksploitasi buruh paksa di Shah Alam
  • Mereka mendakwa sering dipukul dan tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu
  • Serbuan dijalankan berdasarkan maklumat pada sebuah rumah di Kayangan Heights
  • Dua wanita tempatan yang merupakan majikan kepada mangsa ditahan
  • Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!