'Bebas banjir' sekadar slogan pemasaran

BARU beberapa bulan berpindah masuk ke rumah baharu, kegembiraan penduduk sebuah taman perumahan di Kuantan bertukar duka apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat baru-baru ini.
Rata-rata penduduk mengakui agak kecewa dengan kejadian yang berlaku memandangkan banjir yang berlaku bukan disebabkan cuaca, sebaliknya masalah perparitan tidak sempurna memburukkan keadaan.
Malah berdasarkan maklum balas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, masalah utama bukan melibatkan ketidakpatuhan pembangunan, sebaliknya ketiadaan saluran pelepasan utama yang lengkap sehingga air tidak dapat dialirkan ke sungai berhampiran.
Situasi itu bukan perkara baharu sebaliknya makin kerap berlaku apabila sistem perparitan dan saliran diabaikan pihak-pihak berkenaan.
Tanpa sistem perparitan dan saliran yang sempurna termasuk longkang, kolam tadahan dan aliran keluar, istilah 'bebas banjir' tidak lebih sekadar slogan pemasaran.
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming tahun lalu mendedahkan tiada aliran keluar air dan tanah milik persendirian menyebabkan sistem perparitan tidak dapat dibina secara menyeluruh di tujuh lokasi panas banjir kilat di Temerloh.
Melalui jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen itu, beliau berkata, kementerian juga mendapati pembangunan secara pocket development masih berlaku di kawasan-kawasan tersebut yang menyebabkan sistem perparitan atau jajaran parit tidak bersambungan secara konsisten.
Justeru timbul persoalannya, sekiranya masalah dikenal pasti itu lewat diatasi, bagaimana dengan nasib penduduk setiap kali hujan lebat berterusan lebih-lebih lagi pada Monsun Timur Laut (MTL) kini?
Bayangkan pembeli membeli rumah ratusan ribu untuk sebuah kediaman selesa namun terpaksa berdepan masalah begitu.
Sebab itu, sebelum membeli rumah di kawasan baharu, ketepikan jaminan 'bebas banjir' sebaliknya pastikan sistem perparitan sempurna sebagai keutamaan pilihan.
Isu ini tanpa kajian pakar sekali pun, sekiranya sistem saliran tidak berfungsi dengan baik, kita sendiri dapat jangkakan masalah itu menjadi penyumbang utama kejadian banjir kilat.
Tambahan pula, perkembangan pesat tanpa perancangan saliran yang mampan menjadikan hujan lebat satu bencana yang hampir pasti ditambah faktor perubahan cuaca dan intensiti hujan semakin tinggi.
Jadi tidak ada istilah 'bebas banjir' selagi saliran dan perparitan tidak ditangani dengan serius oleh pemaju dan dipantau rapi pihak berkuasa.
Bagi penulis, pembeli rumah perlu risau kerana mereka yang menanggung segala risiko sekiranya banjir berlaku.
Isu ini bukan sahaja melibatkan kerugian disebabkan kerosakan harta benda tetapi turut melibatkan aspek keselamatan dan keselesaan. Sekiranya terbeli rumah terdedah banjir, nilai pasaran akan jatuh dan sukar dijual semula.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya perlu lebih tegas memastikan setiap projek perumahan baharu dibangunkan, pemaju 'wajib' sertakan pelan saliran terperinci, kelulusan saliran, dan infrastruktur siap sebelum kelulusan pemberian kunci.
Pemeriksaan dan pemantauan secara bebas juga perlu untuk pastikan longkang, paip dan saluran tidak tersumbat, cukup kapasiti dan selenggara secara berkala.
Zon resapan, kolam takungan, taman hujan, takungan air dan saluran semula jadi perlu dikekalkan, bukan terus diturap konkrit.
Kesimpulannya, tiada rumah yang benar-benar 'bebas banjir' jika aspek asas seperti saliran dan perparitan diabaikan.
Tanpa keupayaan sistem saliran, akhirnya pembeli terpaksa membayar harga mahal bukan saja untuk rumah, tetapi dalam bentuk risiko banjir setiap kali hujan lebat.
*Nik Amirulmumin Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

