'Anak kami wira sejati'

Mohamed Fateh Al Ahmed dan isterinya, Malakeh Hasan Al Ahmed. Foto Agensi
Mohamed Fateh Al Ahmed dan isterinya, Malakeh Hasan Al Ahmed. Foto Agensi
A
A
A

SYDNEY — Mohamed Fateh Al Ahmed dan isterinya, Malakeh Hasan Al Ahmed, gagal menahan emosi ketika mengimbas kembali detik anak lelaki mereka, Ahmed Al Ahmed, mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan orang awam dalam serangan pengganas di Pantai Bondi, Ahad lalu.

Bagi pasangan warga Syria itu, keberanian Ahmed bukan sesuatu yang asing. Dia dibesarkan dengan nilai kemanusiaan dan keberanian untuk mempertahankan orang lain.

Disebabkan itulah pada hari kejadian, Ahmed berjaya mengawal keadaan di tengah-tengah kekacauan apabila dia bertindak merampas senjata salah seorang penyerang walaupun sedar risikonya boleh meragut nyawa sendiri.

“Bagi kami, dia bukan sekadar berani. Dia adalah wira sejati,” kata Mohamed Fateh dengan suara bergetar, mengenangkan detik menerima panggilan yang memaklumkan anaknya ditembak, lapor ABC News pada Selasa.

Menurut keluarga, Ahmed bertindak secara spontan selepas melihat orang awam terbaring berlumuran darah dan kehilangan nyawa di hadapannya.

Tanpa memikirkan keselamatan diri, dia menghampiri penyerang dari belakang ketika senjatanya kehabisan peluru, sebelum bergelut dan berjaya merampas senjata tersebut.

“Dia melihat orang sedang mati di depan matanya. Naluri dan hati nuraninya mendorong dia untuk bertindak,” ujar Malakeh Hasan, sambil mengakui tidak mampu menahan air mata setiap kali mengenangkan keadaan anaknya yang kini terlantar di hospital.

Serangan pengganas itu mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang, termasuk kanak-kanak, manakala puluhan lagi cedera. Dalam situasi penuh kekalutan itu, tindakan Ahmed dipercayai berjaya menghalang pertumpahan darah yang lebih besar.

Namun keberanian itu dibayar dengan harga yang mahal. Ahmed ditembak empat hingga lima kali di bahu, dengan beberapa butir peluru masih tertanam di dalam tubuhnya. Dia kini menjalani rawatan intensif dan dijangka perlu melalui beberapa pembedahan susulan.

Artikel Berkaitan:

Ahmed Al Ahmed ketika menerima kunjungan Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns di hospital. Foto Agensi
Ahmed Al Ahmed ketika menerima kunjungan Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns di hospital. Foto Agensi

“Kami bangga, tetapi sebagai ibu bapa, kami juga sangat takut kehilangannya.

“Kami hanya berdoa agar Tuhan melindunginya dan memberinya kekuatan untuk pulih," kata Malakeh Hasan.

Pasangan itu turut mendedahkan mereka baru tiba di Sydney dari Syria beberapa bulan lalu dan telah lama terpisah daripada Ahmed sejak beliau berhijrah ke Australia pada 2006.

Hasrat untuk bertemu semula anak akhirnya bertukar menjadi episod paling getir dalam kehidupan mereka.

Bagi Mohamed Fateh, apa yang dilakukan oleh anaknya mencerminkan prinsip yang dipegang teguh sepanjang hidupnya.

“Dia tidak melihat siapa yang dia selamatkan — agama, bangsa atau latar belakang. Pada saat itu, yang dia nampak hanyalah manusia yang sedang mati dan perlu dibantu,” katanya.

Keberanian Ahmed mengundang reaksi luar biasa daripada masyarakat antarabangsa. Orang ramai daripada pelbagai latar belakang hadir ke hospital untuk menyatakan sokongan, manakala sumbangan dana awam mencecah ratusan ribu dolar dalam tempoh singkat bagi membantu kos rawatan dan pemulihannya.

Pemimpin politik Australia dan antarabangsa turut mengangkat Ahmed sebagai simbol keberanian rakyat biasa yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan orang lain.

Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns, menyifatkan Ahmed sebagai 'wira sebenar' yang tindakannya telah menyelamatkan banyak nyawa. - Agensi

Ringkasan AI

  • Mohamed Fateh Al Ahmed dan isterinya tidak dapat menahan emosi mengenang detik anak mereka menyelamatkan nyawa orang lain di Pantai Bondi
  • Ahmed bertindak merampas senjata dari penyerang dalam usaha mencegah lebih banyak kehilangan nyawa
  • Dia ditembak empat hingga lima kali dan kini menjalani rawatan intensif
  • Pasangan itu baru tiba di Sydney dari Syria dan telah lama terpisah dari Ahmed
  • Keberanian Ahmed diakui oleh masyarakat antarabangsa dan pemimpin politik, menjadikannya simbol keberanian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!