Tarique Rahman PM baharu Bangladesh, BNP kembali berkuasa selepas 20 tahun

Tarique Rahman mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden, Mohammed Shahabuddin di parlimen kebangsaan Jatiya Sangsad di Dhaka. Foto AFP
Tarique Rahman mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden, Mohammed Shahabuddin di parlimen kebangsaan Jatiya Sangsad di Dhaka. Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Tarique Rahman mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Bangladesh pada Selasa, dalam apa yang dianggap sebagai era baharu demokrasi dan harapan buat negara dengan 175 juta penduduk itu.

Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden, Mohammed Shahabuddin di parlimen kebangsaan Jatiya Sangsad di Dhaka, dalam satu upacara yang disiarkan secara langsung.

Terdahulu, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) memilih Tarique, anak kepada bekas Perdana Menteri, Begum Khaleda Zia dan bekas Presiden, Ziaur Rahman, sebagai ketua parti parlimennya.

Ahli Kabinet Perdana Menteri baharu itu juga mengangkat sumpah dalam upacara yang dihadiri oleh pemimpin dan wakil dari beberapa negara.

Tarique mengetuai pasukan seramai 49 orang yang terdiri daripada 25 menteri bertaraf Kabinet dan 24 menteri negara.

BNP yang diasaskan pada 1978 oleh Ziaur Rahman, mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen pada 12 Februari dan kembali berkuasa selepas dua dekad.

Tarique kembali ke Bangladesh dari Britain pada Disember tahun lepas selepas 17 tahun hidup dalam buangan.

Beliau mengambil alih kepimpinan parti secara rasmi berikutan kematian ibunya. Khaleda Zia yang meninggal dunia pada 30 Disember selepas menderita sakit berpanjangan dan mengharungi perjuangan politik yang sengit menentang seteru beliau, Sheikh Hasina.

Kerajaan baharu berhadapan beberapa cabaran dalam membina semula kepercayaan awam terhadap institusi, memacu pertumbuhan ekonomi serta pekerjaan, dan mewujudkan keharmonian politik selepas lebih 15 tahun di bawah pemerintahan rejim Awami League pimpinan Hasina yang digulingkan dalam kebangkitan rakyat pada Ogos 2024.

Artikel Berkaitan:

Hasina yang melarikan diri ke India, bersama ramai pemimpin partinya kini menetap di luar negara. Mereka menghadapi pertuduhan serius termasuk pembunuhan dan rasuah di mahkamah Bangladesh.

Pemimpin interim, Muhammad Yunus dalam perutusan perpisahan kepada negara pada malam Isnin menyifatkan peralihan kuasa kepada kerajaan yang dipilih sebagai era baharu bagi Bangladesh.

"Ia adalah permulaan perjalanan baharu bagi sistem demokrasi Bangladesh, kelahiran sebuah Bangladesh yang baharu," katanya dalam siaran itu.

Negara Asia Selatan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri baharu dan turut menyertai upacara mengangkat sumpah itu.

Presiden Maldives, Mohamed Muizzu; Perdana Menteri Bhutan, Tshering Tobgay; Speaker Dewan Rakyat India,Om Birla; Menteri Perancangan Pakistan, Ahsan Iqbal; Menteri Kesihatan dan Media Massa Sri Lanka, Nalinda Jayatissa serta Menteri Luar Nepal, Balananda Sharma hadir pada majlis tersebut. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Tarique Rahman mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baru Bangladesh
  • Beliau merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri, Begum Khaleda Zia
  • BNP memenangi pilihan raya dan kembali berkuasa setelah dua dekad
  • Tarique kembali ke Bangladesh selepas 17 tahun hidup dalam buangan
  • Upacara pengangkatan sumpah dihadiri oleh pemimpin dan wakil dari beberapa negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!