Trump dakwa mampu redakan ketegangan Arab Saudi-UAE dengan mudah

Donald Trump. Foto AFP
Donald Trump. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa beliau mampu meredakan ketegangan antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan "mudah”, lapor Anadolu Ajansi.

"Mereka memang mempunyai perselisihan dan kita boleh menyelesaikannya dengan sangat mudah,” kata Trump kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One ketika kembali ke Washington, DC dari kediamannya di Mar-a-Lago di Florida Selatan.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada beliau mempunyai rancangan untuk terlibat dalam pertikaian antara dua negara Teluk itu, beliau berkata tiada.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan antara Arab Saudi dan UAE berhubung konflik di Yemen selepas Abu Dhabi menarik balik tenteranya susulan pertempuran yang melibatkan Majlis Peralihan Selatan, kumpulan pemisah utama di negara yang dilanda perang itu.

Riyadh menuduh UAE menyokong kemaraan kumpulan pemisah berhampiran sempadan Arab Saudi, dakwaan yang dinafikan Abu Dhabi.

Susulan perselisihan itu, UAE menarik balik semua tenteranya dari Yemen, sekali gus menamatkan misinya di negara berkenaan.

Konfrontasi itu menandakan antara perselisihan paling serius dalam kem anti-Houthi di Yemen sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Bernama-Anadolu

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa beliau mampu meredakan ketegangan antara Arab Saudi dan UAE dengan mudah
  • Trump membuat kenyataan tersebut kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One
  • Beliau mengakui tidak mempunyai rancangan untuk terlibat dalam pertikaian antara kedua-dua negara Teluk itu
  • Ketegangan antara Arab Saudi dan UAE berkisar kepada konflik di Yemen, menyusul penarikan tentera UAE
  • UAE menarik balik tenteranya dari Yemen, menamatkan misinya di sana dan memicu antara perselisihan paling serius dalam kem anti-Houthi di Yaman sejak beberapa tahun kebelakangan ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!