Serangan di Bondi: Pemilik kedai buah disanjung wira selepas tumpaskan penyerang

Ahmed al-Ahmed menyerbu penyerang dari belakang dan berjaya merampas senapang penyerang sebelum menyerahkan senjata kepada pihak polis. - Foto X/Brad Lander
Ahmed al-Ahmed menyerbu penyerang dari belakang dan berjaya merampas senapang penyerang sebelum menyerahkan senjata kepada pihak polis. - Foto X/Brad Lander
A
A
A

SYDNEY - Seorang pemilik kedai buah-buahan di Sydney dikenal pasti sebagai wira yang berjaya melumpuhkan salah seorang penyerang bersenjata dalam tragedi tembakan di Pantai Bondi.

Insiden berkenaan mengorbankan 16 nyawa dan mencederakan lebih 40 orang.

Lelaki berkenaan, dikenali sebagai Ahmed al-Ahmed, 43, bertindak berani apabila menyerbu dari belakang dan merampas senapang daripada salah seorang penyerang yang melepaskan tembakan ke arah orang ramai semasa sambutan Hanukkah pada Ahad lalu.

Rakaman video menunjukkan Ahmed, yang memakai baju-T putih, mengejar penyerang sebelum bergelut dan berjaya merampas senjata tersebut.

Beliau kemudian menghalakan senapang ke arah penyerang sebelum meletakkannya di bawah sebatang pokok dan mengangkat tangan sebagai isyarat kepada pihak polis bahawa beliau bukan ancaman.

Dalam insiden itu, Ahmed turut ditembak sebanyak dua kali dan kini sedang menerima rawatan di hospital selepas menjalani pembedahan.

Keberaniannya telah dipuji ramai, termasuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyifatkannya sebagai “lelaki hebat” kerana tindakannya menyelamatkan nyawa orang lain.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa salah seorang penyerang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi kini berada dalam tahanan dan sedang dirawat di hospital.

Insiden ini telah mencetuskan kejutan dan kesedihan di seluruh Australia, dengan pemimpin negara menyeru rakyat untuk bersatu dalam menghadapi tragedi ini. - Awani 

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang pemilik kedai buah-buahan di Sydney menjadi wira dengan melumpuhkan salah seorang penyerang bersenjata di Pantai Bondi
  • Insiden tersebut mengorbankan 16 nyawa dan mencederakan lebih 40 orang
  • Ahmed al-Ahmed berumur 43 tahun bertindak berani dengan merampas senapang daripada penyerang semasa sambutan Hanukkah
  • Ahmed ditembak dua kali dan kini sedang menerima rawatan di hospital
  • Keberanian Ahmed dipuji ramai termasuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!