Ahmed al Ahmed wira insiden berdarah Pantai Bondi

Ketua Menteri Negeri New South Wales, Chris Minns, turut melawat Ahmed di hospital. Foto Agensi
Ketua Menteri Negeri New South Wales, Chris Minns, turut melawat Ahmed di hospital. Foto Agensi
A
A
A

SYDNEY – Ibu bapa kepada seorang lelaki yang disifatkan sebagai wira selepas bertindak melumpuhkan serangan salah seorang penyerang dalam insiden tembakan di Pantai Bondi berkata, mereka terus berdoa agar anak mereka pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.

Rakaman video yang disahkan oleh BBC menunjukkan Ahmed al Ahmed, 43, berlari ke arah seorang lelaki bersenjata sebelum berjaya merampas senjata api daripada penyerang tersebut, seterusnya memaksanya berundur.

Sepupu mangsa memaklumkan bahawa Ahmed telah menjalani pembedahan akibat luka tembakan pada bahagian lengan dan tangan.

Ibunya pula berkata kepada media tempatan: “Kami berdoa agar Tuhan menyelamatkannya.”

Ahmed, seorang peniaga buah-buahan dan bapa kepada dua anak, dipuji ramai sebagai wira selepas campur tangan dalam serangan yang meragut 16 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain ketika satu acara sambutan Hanukkah diadakan pada Ahad lalu.

Pihak polis mengesahkan kejadian itu sebagai insiden keganasan yang menyasarkan komuniti Yahudi.

Rakaman tular keberanian Ahmed. Foto Agensi
Rakaman tular keberanian Ahmed. Foto Agensi

Cedera parah, dipuji keberanian

Artikel Berkaitan:

Sepupunya, Mustafa, memberitahu 7News Australia bahawa Ahmed ditembak sekurang-kurangnya dua kali.

“Dia wira, seratus peratus wira. Dia terkena dua tembakan, satu di lengan dan satu di tangan,” katanya.

Dalam kemas kini awal Isnin, Mustafa berkata, keadaan Ahmed stabil namun masih dipantau rapi oleh pihak perubatan.

Ibu bapanya pula memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) bahawa anak mereka dipercayai terkena empat atau lima das tembakan.

Bapanya berkata, tindakan Ahmed dilakukan tanpa mengira latar belakang mangsa yang diselamatkan.

“Dia tidak memikirkan siapa yang dia selamatkan, siapa yang sedang mati di jalanan. Dia tidak membezakan antara satu bangsa dengan bangsa lain. Di Australia, semua warga adalah sama,” katanya.

Pasangan itu memaklumkan mereka telah lama terpisah daripada anak mereka sejak 2006 apabila Ahmed berhijrah ke Australia, dan baru tiba di Sydney dari Syria beberapa bulan lalu.

Pengiktirafan pemimpin dan sokongan awam

Ketua Menteri Negeri New South Wales, Chris Minns, turut melawat Ahmed di hospital dan menyifatkannya sebagai 'wira sebenar'.

“Keberaniannya yang luar biasa tanpa ragu telah menyelamatkan banyak nyawa apabila beliau melumpuhkan seorang pengganas dengan risiko besar terhadap dirinya sendiri,” katanya menerusi media sosial.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, turut memuji tindakan berani tersebut.

“Kita menyaksikan rakyat Australia berlari ke arah bahaya demi menyelamatkan orang lain. Mereka adalah wira, dan keberanian mereka telah menyelamatkan nyawa,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang berucap pada satu majlis di Rumah Putih, turut menyatakan rasa hormatnya terhadap Ahmed dan menyifatkannya sebagai seorang yang amat berani.

Dalam perkembangan lain, seorang bilionair Amerika Syarikat, William Ackman, menyumbangkan A$99,999 (sekitar RM272,000) kepada Ahmed melalui kempen derma awam, yang telah mengumpul lebih A$1 juta (RM2,720,000) setakat Isnin malam.

Detik cemas dirakam kamera

Rakaman video yang tular menunjukkan seorang penyerang berdiri di sebalik sebatang pokok palma berhampiran jambatan pejalan kaki sebelum melepaskan tembakan.

Ahmed, yang ketika itu berlindung di belakang sebuah kenderaan, dilihat meluru ke arah penyerang dan menjatuhkannya ke tanah. Beliau berjaya merampas senjata api tersebut sebelum menghalakan senjata ke arah penyerang yang kemudiannya berundur.

Ahmed kemudian menurunkan senjata dan mengangkat tangan, dipercayai bagi menunjukkan kepada pihak polis bahawa beliau bukan penyerang.

Bagaimanapun, penyerang sama dilaporkan kembali mengambil senjata lain dan melepaskan tembakan, manakala seorang lagi penyerang turut melepaskan tembakan dari atas jambatan.

Pihak polis memaklumkan dua suspek terlibat merupakan bapa dan anak, masing-masing berusia 50 dan 24 tahun. Bapa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala anaknya kini dirawat dalam keadaan kritikal.-Agensi

Profil Ringkas:

Nama: Ahmed al Ahmed

Umur: 43 tahun

Asal: Syria

Kediaman: Sydney, Australia

Pekerjaan: Peniaga buah-buahan

Status keluarga: Berkahwin, bapa kepada dua anak

Dikenali sebagai: Wira awam insiden tembakan Pantai Bondi

Ringkasan AI

  • Ahmed al Ahmed, 43 tahun dari Syria, bertindak heroik merampas senjata dari penyerang di Pantai Bondi sambil mengalami kecederaan tembakan
  • Dia merupakan seorang peniaga buah-buahan dan bapa kepada dua anak yang dihormati sebagai wira kerana menyelamatkan nyawa ketika acara Hanukkah
  • Ahmed telah menjalani pembedahan akibat luka tembakan di lengan dan tangan
  • Pihak polis mengesahkan insiden tersebut sebagai serangan keganasan yang menyasarkan komuniti Yahudi
  • Pengiktirafan dan sokongan awam termasuk dari Perdana Menteri Australia, Presiden Amerika, dan sumbangan dari seorang bilionair Amerika Syarikat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!