Kren runtuh: JKKP keluar dua notis larangan, lokasi insiden ditutup

JKKP Johor telah mengeluarkan 2 notis larangan serta mengarahkan penutupan kawasan lokasi kemalangan maut susulan insiden runtuhan struktur kren di sebuah fasiliti janakuasa elektrik di Pontian pada Sabtu.
JKKP Johor telah mengeluarkan 2 notis larangan serta mengarahkan penutupan kawasan lokasi kemalangan maut susulan insiden runtuhan struktur kren di sebuah fasiliti janakuasa elektrik di Pontian pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor telah mengeluarkan dua notis larangan serta mengarahkan penutupan kawasan lokasi kemalangan maut susulan insiden runtuhan struktur kren di sebuah fasiliti janakuasa elektrik di Pontian, pada Sabtu.

JKKP Johor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berkaitan insiden tersebut pada jam 12.10 tengah hari dan segera menggerakkan pasukan penyiasat ke tempat kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima, insiden ini melibatkan lima pekerja kontraktor yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di fasiliti berkenaan.

“Semasa aktiviti tersebut dijalankan, struktur kren runtuh, mengakibatkan dua pekerja meninggal dunia, manakala tiga pekerja lain cedera dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Di bawah akta ini, hukuman maksimum terhadap majikan ialah denda sebanyak RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

JKKP Johor turut memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan menasihatkan semua majikan agar lebih cakna terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menggesa siasatan yang rapi, telus dan menyeluruh dijalankan berhubung insiden runtuhan dan kebakaran kren di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup, Pontian.

Artikel Berkaitan:

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, dalam satu kenyataan, menyeru pihak berkuasa berkaitan – khususnya JKKP dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) – dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal terlibat, untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mahadir Mamat, dilaporkan berkata dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren yang mengangkat arang batu runtuh dalam kejadian di Loji Janakuasa Tanjung Bin dekat Kukup, Pontian, kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu.

Mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan kira-kira jam 3 petang sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga lagi pekerja lelaki tempatan yang cedera dibawa ke Hospital Pontian sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.«

Ringkasan AI

  • JKKP Johor mengeluarkan dua notis larangan dan mengarahkan penutupan kawasan lokasi kemalangan maut di sebuah fasiliti janakuasa elektrik di Pontian
  • Insiden runtuhan struktur kren menyebabkan dua pekerja meninggal dunia dan tiga pekerja lain cedera
  • Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan
  • Tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dengan hukuman maksimum denda RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menggesa siasatan yang rapi, telus dan menyeluruh berhubung insiden tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!