Kren runtuh: Terkejut dengar bunyi letupan, tak sangka menantu maut

Muhammad Hussin (kiri) menunjukkan gambar keluarga anaknya ketika ditemui di Hospital Pontian.
Muhammad Hussin (kiri) menunjukkan gambar keluarga anaknya ketika ditemui di Hospital Pontian.
A
A
A

PONTIAN – “Saya terkejut bila dengar bunyi letupan yang sangat kuat dengan kepulan asap dari arah Tanjung Bin ketika berada di atas kapal di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Saya sempat rakam kejadian itu dan hantar kepada ahli keluarga kerana menantu saya bekerja di sana,” katanya.

Demikian luahan Muhammad Hussin Zulkifli, 40, bapa mentua kepada Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, yang maut dalam tragedi runtuhan dan kebakaran kren yang mengangkat arang batu di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, dua pekerja dilaporkan maut, manakala tiga lagi cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Muhammad Hussin yang bekerja sebagai penyelia kapal di PTP berkata, dia masih terkejut dengan kejadian tersebut memandangkan kedudukan PTP dan Tanjung Bin yang saling berhadapan di Sungai Pulai.

Gambar kenangan, Allahyarham Muhammad Amaluddin bersama isterinya, Syahzanani serta anak mereka.
Gambar kenangan, Allahyarham Muhammad Amaluddin bersama isterinya, Syahzanani serta anak mereka.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan kira-kira jam 2 petang yang memaklumkan menantunya antara mangsa terlibat, dia dan isterinya terus bergegas ke Hospital Pontian.

“Kali terakhir kami bertemu arwah minggu lalu. Ketika itu arwah bersama isterinya, Syahzanani Aizzati, 22, serta anak mereka yang berusia tiga tahun datang melawat kami di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.

Artikel Berkaitan:

“Tiada sebarang perubahan ditunjukkan arwah. Dia memang seorang yang pendiam. Anak saya pernah beritahu bahawa arwah suka makan masakan air tangannya setiap hari,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian.

Muhammad Hussin berkata, jenazah menantunya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah.

Sementara itu, abang kepada seorang lagi mangsa yang terkorban, Muhammad Alfarid Ahmad, 19, iaitu Muhammad Faris berkata, perbualan mereka menerusi aplikasi WhatsApp pada Jumaat lalu tidak disangka menjadi perbualan terakhir.

“Kali terakhir kami berhubung malam semalam dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kami berbual seperti biasa. Kali terakhir kami berjumpa awal bulan lalu,” katanya.

Menurut Muhammad Faris, jenazah adiknya akan dibawa pulang ke Tanah Merah, Kelantan sejurus selesai proses bedah siasat di Hospital Pontian.

Ringkasan AI

  • Muhammad Hussin Zulkifli terkejut dengar letupan di Tanjung Bin sambil berada di Pelabuhan Tanjung Pelepas
  • Muhammad Amaluddin Hisamudin, menantu Muhammad Hussin, maut dalam tragedi runtuhan dan kebakaran kren di Loji Janakuasa Malakoff
  • Dua pekerja dilaporkan maut dan tiga cedera parah dalam kejadian itu
  • Muhammad Hussin menerima panggilan tentang kejadian itu dan segera ke Hospital Pontian
  • Jenazah Muhammad Amaluddin dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!